IPOH, 15 April (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin warga Indonesia melibatkan 40 individu dalam serbuan di sekitar Jalan Besar Segari ke Batu Hilal dekat Segari pada 4 April lepas.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata operasi itu dijalankan hasil risikan dan maklumat awam berhubung pergerakan mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Dalam serbuan itu, sebanyak 40 warga Indonesia berjaya ditahan selain seorang wanita tempatan yang dipercayai berperanan sebagai ‘pengangkut’ untuk membawa masuk dan memindahkan pendatang ke lokasi tertentu.
“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 26A dan Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasbullah berkata pihak polis kemudiannya mempergiat operasi susulan bagi mengekang kemasukan imigran melalui laluan tidak sah, khususnya di kawasan pesisir pantai.
Beliau berkata dalam operasi susulan dengan kerjasama Polis Marin Kampung Acheh pada 2.30 pagi semalam, sebanyak 10 lagi warga Indonesia ditahan di kawasan pesisir pantai Kampung Sungai Lombong dekat Lekir kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pada hari sama, tujuh lagi individu warga Indonesia turut ditahan di lokasi berasingan, sekali gus menjadikan keseluruhan tangkapan dalam operasi susulan ini sebanyak 17 orang,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Hasbullah berkata polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut menumpaskan kegiatan perlombongan bitcoin haram dalam satu serbuan semalam.
"Empat premis diserbu selepas disyaki membuat penyambungan elektrik secara tidak sah bagi menjalankan operasi mesin perlombongan bitcoin.
“Hasil serbuan, empat individu ditahan dan 46 unit mesin perlombongan bitcoin dirampas. Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya.
Hasbullah berkata jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata sepanjang 2026, sebanyak 38 serbuan berkaitan kegiatan perlombongan bitcoin haram telah dijalankan dengan kerjasama TNB, melibatkan rampasan 487 unit mesin serta penahanan sembilan individu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial