EKONOMI

Tropicana Tebus Sukuk Tranche Lima Sebanyak Rm133.2 Juta  

15/04/2026 09:51 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Tropicana Corporation Bhd telah menebus RM133.2 juta di bawah Program Sukuk Wakalah 2020 Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) RM1.5 bilion, menjadikan jumlah pembayaran terkumpul di bawah program itu kepada RM1.25 bilion. 

Kumpulan itu melalui satu kenyataan berkata penebusan tersebut merupakan sebahagian daripada beberapa inisiatif untuk mengurangkan keseluruhan pinjaman dan mengukuhkan kunci kira-kira kumpulan.

“Penebusan Tranche Lima IMTN mencerminkan kemajuan mantap yang kami buat dalam mengukuhkan Tropicana sebagai sebuah organisasi dan memantapkan komitmen kumpulan bagi memenuhi kewajipan kami. 

“Kami akan terus mengubah Tropicana menjadi kumpulan sedia masa depan yang menumpukan pada pertumbuhan mampan,” katanya.

Pada Mac lepas, kumpulan itu mengumumkan penebusan penuh sebanyak RM89.43 juta, sukuk kekal Tranche Satu.

Pada Oktober 2025, ia juga mengumumkan pemenuhan obligasi pembayaran RM139 juta, mewakili pembayaran Tranche Empat di bawah Program Sukuk Wakalah IMTN 2020. 

Selepas itu, pada November 2025, Tropicana berjaya menerbitkan RM300 juta di bawah Program Sukuk Wakalah IMTN 2024, meningkat daripada RM200 juta sebelumnya berikutan permintaan pelabur yang kukuh. 

Memandang ke hadapan, kumpulan itu kekal fokus bagi mengekalkan trajektori pertumbuhan melalui prestasi jualan yang lebih baik, pengewangan strategik bank tanah dan hartanah pelaburan termasuk pengoptimuman kewangan yang berterusan. 

Tropicana berkata bank tanahnya sekarang adalah sebanyak 540.7 hektar, dengan jumlah potensi nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM168.4 bilion. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan