AM

Kreativiti Bawah Khemah: Pemuda Bawa Khidmat Gunting Rambut Ke Pasar Malam Sukau

16/04/2026 10:40 AM

Oleh Arjasneh Ahmad

SUKAU, 16 April (Bernama) -- Menyedari kesukaran penduduk pedalaman mendapatkan perkhidmatan merapikan diri di sini, seorang pemuda tampil membawa kelainan apabila menawarkan perkhidmatan menggunting rambut di bawah khemah di Pasar Malam Tamu Sukau di sini.

Inisiatif kreatif Azwan Basari, 27, ternyata bukan sahaja memeriahkan suasana pasar malam berkenaan, malah memberikan nilai tambah dan kemudahan alternatif yang amat dinanti-nantikan oleh pekerja ladang serta penduduk setempat.

Di suatu sudut pasar tamu itu, terpacak sebuah khemah ringkas milik Azwan yang dilengkapi dengan sebuah kerusi, cermin besar di atas meja, serta deretan peralatan seperti sikat dan mesin pencukur.

“Idea untuk menawarkan perkhidmatan di bawah khemah ini bermula sejak enam bulan lepas apabila saya  kerap menemani bapa berniaga di pasar malam (Pasar Malam Tamu Sukau) pada setiap Sabtu.

"Difahamkan di Sukau ini hanya ada sebuah kedai gunting. Oleh itu, perkhidmatan yang saya sediakan di pasar malam ini sebagai pilihan alternatif bagi memudahkan penduduk menggunting rambut sambil membeli-belah di pasar," katanya ketika ditemui Bernama.

Sukau, sebuah kawasan pedalaman yang terletak dalam daerah Kinabatangan kira-kira 360 kilometer arah Timur dari Kota Kinabalu.

Azwan yang berasal dari Batu 32, Sandakan, 'mengolah' rambut pelanggan dengan begitu pantas dan yakin, ditemani bunyi dengungan halus mesin pencukurnya.

Bermodalkan pengalaman 10 tahun dalam bidang pendandanan rambut, yang pada asalnya dipelajari menerusi beberapa kursus kemahiran anjuran kerajaan, dia tidak kekok beraksi walaupun di lokasi yang serba ringkas dan terbuka.

Sejajar dengan objektifnya untuk membantu komuniti, Azwan menawarkan harga yang berpatutan, iaitu RM18 bagi pelanggan dewasa, manakala kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah hanya dikenakan bayaran RM10.

"Setakat ini, maklum balas pelanggan sangat memberangsangkan. Purata 20 pelanggan, terutamanya pekerja ladang dan penduduk kampung yang akan datang bergunting rambut setiap kali saya beroperasi dari pukul 3 petang hingga 11 malam," katanya.

Melihat kepada ekonomi yang tidak menentu, Azwan berkata selain menambah sumber pendapatan dengan menjual produk seperti minyak dan pewarna rambut, inisiatif ini mengajarnya untuk lebih proaktif dalam mencari rezeki sambil memberi manfaat langsung kepada masyarakat sekeliling.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan