JENAYAH & MAHKAMAH

Warga Emas Di Miri Rugi Lebih RM1.17 Juta Terperdaya Penipuan Cinta

16/04/2026 12:04 PM

KUCHING, 16 April (Bernama) -- Seorang warga emas di Miri berusia 64 tahun kerugian lebih RM1.17 juta selepas menjadi mangsa penipuan cinta.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata berdasarkan laporan diterima semalam, mangsa pada mulanya menerima pesanan melalui aplikasi TikTok sebelum berkomunikasi melalui WhatsApp.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek menyamar sebagai warga asing dengan menggunakan gambar individu lain serta dokumen peribadi telah disunting bagi meyakinkan mangsa.

“Suspek kemudian memperdaya mangsa dengan mendakwa sedang mengendalikan projek cari gali yang telah diluluskan, namun berdepan masalah akaun bank disekat atau digodam.

“Suspek seterusnya meminta bantuan kewangan daripada mangsa untuk bayaran pendahuluan dan kos projek, dengan janji akan memulangkan semula wang tersebut dalam mata wang dolar Amerika (USD),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Farhan berkata terperdaya dengan kata-kata manis suspek, mangsa telah membuat sebanyak 59 transaksi pembayaran ke sembilan akaun pihak ketiga diberikan suspek, membabitkan jumlah keseluruhan RM1,173,700.

Beliau berkata mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas berkongsi perkara itu dengan ahli keluarga sebelum tampil membuat laporan polis dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan