KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Perdana Petroleum Bhd (PPB), Perdana Nautika Sdn Bhd (PNSB) memperoleh dua kontrak daripada Petronas Carigali Sdn Bhd untuk membekalkan dua kapal tunda dan pengendalian sauh (AHTS).
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, PPB menjelaskan PNSB akan membekalkan kapal itu, serta anak kapal dan peralatan, bagi menyediakan perkhidmatan berterusan 24 jam termasuk menyokong pelantar penggerudian, pemasangan luar pesisir, barj derik serta operasi penundaan dan pengendalian sauh.
“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih PPB Group bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2026 dan 2027, tidak termasuk sebarang tempoh lanjutan, kontrak ini tidak akan menjejaskan modal saham atau struktur pegangan saham PPB,” tambahnya.
Menurut PPB nilai kontrak tidak dapat ditentukan pada peringkat ini kerana bergantung kepada arahan kerja yang dikeluarkan oleh pihak penyewa sepanjang tempoh kontrak.
Tempoh kontrak bagi kapal AHTS pertama adalah 303 hari, dengan pilihan untuk lanjutan selama 40 hari manakala kapal kedua pula selama 224 hari, juga dengan pilihan lanjutan 40 hari.
Kedua-dua kontrak itu bermula sebaik sahaja sijil “on-hire vessel” tersebut dikeluarkan.
Sijil “on-hire vessel” adalah dokumen rasmi yang mengesahkan seseorang pekerja atau aset telah sedia untuk memulakan tugasan.
Pematuhan kriteria keselamatan, teknikal atau kecekapan kapal sebelum kontrak atau operasi bermula disahkan menerusi sijil itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial