AM

Pelajar Sekolah Integriti, Henry Gurney Cemerlang SPM Tekad Kejar Cita-cita Tertunda

16/04/2026 07:25 PM

KUALA SELANGOR, 16 April (Bernama) -- Tekad mengejar cita-cita dan keazaman untuk mengubah nasib keluarga menjadi antara pembakar semangat pesalah muda sehingga berjaya meraih keputusan cemerlang Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2025 di balik tirai besi. 

Ramli (bukan nama sebenar) yang berjaya memperoleh 6A1B mengakui pencapaian itu bukti bahawa kesilapan lampau bukan penentu masa depan dan turut berhasrat untuk menggenggam ijazah sarjana suatu hari nanti.  

Beliau yang menjalani hukuman di Penjara Kluang, Johor berkata pencapaian berkenaan menghidupkan kembali semangat untuk mengejar cita-cita dalam bidang aeroangkasa selain meluahkan penghargaan kepada warga pendidik di Sekolah Integriti Kluang yang berhempas pulas mencurahkan ilmu kepadanya dan rakan-rakan. 

“Ini kali pertama saya ambil SPM dapat keputusan yang cemerlang macam ini, masa duduk di luar (bebas) dahulu pun tak cemerlang macam ini. Jadi saya harap dengan keputusan ini nanti, saya boleh mengejar semula cita-cita untuk mereka bentuk kapal terbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas diumumkan sebagai pemenang Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan SPM 2025 pada Majlis Sinergi Prestasi Cemerlang 2025 Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney Jabatan Penjara Malaysia di sini hari ini. 

Turut hadir Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Rosoman Abu Bakar @ Che Din. 

Seorang lagi pemenang anugerah sama, Jackson (bukan nama sebenar) berkata keinsafan terhadap kesilapan lampau membuatkannya memandang pendidikan sebagai jalan keluar untuk mengubah nasib diri dan keluarga setelah selesai menjalani hukuman kelak. 

Bagi pelajar Sekolah Henry Gurney Keningau, Sabah itu kejayaan yang dikecapinya akan dijadikan sebagai titik tolak untuk meneruskan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pendidikan bagi membantu mengubah nasib anak-anak muda lain agar tidak terjebak dengan gejala tidak sihat.

“Ibu bapa saya banyak memberi semangat untuk belajar dan bagi saya pendidikan adalah satu-satunya jalan keluar,” katanya yang berjaya meraih keputusan 6A pada SPM 2025. 

 Sementara itu, Rosoman dalam ucapannya berkata bagi sesi SPM tahun lepas, sebanyak 99 pelajar Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney telah menduduki peperiksaan itu dengan berjaya mengekalkan pencapaian 100 peratus layak menerima sijil selama empat tahun berturut-turut sejak 2022. 

Beliau berkata Jabatan Penjara kekal komited untuk merealisasikan visi “Penjara Selamat, Berdaya Huni, dan Menginspirasikan Harapan” yang menekankan institusi penjara bukan sekadar tempat menjalani hukuman, tetapi juga sebagai ruang untuk memperbaiki diri, menimba ilmu serta membina masa depan yang lebih bermakna

“Kejayaan dan peluang ini tidak datang dengan mudah. Setiap anda yang ada ini adalah simbol ketabahan, disiplin, dan keinginan yang tinggi untuk berubah ke arah masa depan yang lebih baik. 

“Kita sedar, walaupun sedang menjalani hukuman, prestasi dalam pendidikan tetap menjadi agenda utama agar anda mempunyai masa depan yang cerah apabila kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat kelak,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan