AM

Persidangan Prinsip Buddha-MADANI Dianjur Buat Julung-julung Kali Sempena Wesak 2026

16/04/2026 10:26 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Persidangan Kebangsaan Prinsip Buddha dan Amalan MADANI akan dianjurkan buat julung-julung kalinya pada 23 Mei ini sempena sambutan Hari Wesak Peringkat Kebangsaan 2026.

Bertemakan “Merentasi Kebijaksanaan dan Tamadun: Prinsip Buddha & Amalan MADANI”, persidangan itu bakal menghimpunkan pemimpin agama, cendekiawan dan wakil masyarakat sivil bagi membincangkan keserasian nilai ajaran Buddha dengan kerangka Malaysia MADANI.

Persidangan ini akan diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai simbol komitmen kerajaan terhadap dialog antara agama.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Aro Dagang berkata kerajaan akan terus menyokong dan mendukung pelbagai kegiatan keagamaan di negara ini.

“Majlis berkaitan keagamaan yang melibatkan pelbagai agama termasuk Buddha dan Kristian mencerminkan satu organisasi besar yang menghubungkan masyarakat pelbagai kepercayaan.

“Tujuannya adalah untuk rakyat sama-sama memahami, menerima dan mengamati. Selepas itu kita raikan,” katanya kepada pemberita selepas sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Sementara itu, Loke berkata nilai ihsan antara prinsip utama dalam ajaran Buddha yang selari dengan konsep Malaysia MADANI selain sentiasa berbuat baik kepada orang lain, bercakap perkara yang baik dan sebagainya.

“Jadi ini adalah satu nilai yang kita lihat sebagai nilai sejagat, ia melangkaui semua agama. Seperti yang ditegaskan dalam prinsip MADANI. Ia bukan unik atau eksklusif kepada mana-mana agama,” katanya.

Loke berkata konsep MADANI berteraskan nilai murni universal termasuk hormat-menghormati dan kelestarian.

“Semua agama menekankan supaya penganutnya memberi manfaat kepada orang lain. Jadi ini yang kita harap dapat diterjemahkan kepada pemahaman antara agama dan kaum yang sangat penting dalam masyarakat berbilang kaum di negara kita,” katanya.

Persidangan itu merupakan antara dua inisiatif utama dalam sambutan Wesak tahun ini yang dianjurkan Kerajaan MADANI melalui Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Pertubuhan Perundingan Buddhis Malaysia (MBCC).

Selain persidangan, kerajaan turut melaksanakan program “Sambutan Wesak Akar Umbi” bagi menyalurkan sokongan secara langsung kepada organisasi Buddha di peringkat komuniti di seluruh negara.

Menerusi program itu, setiap tokong dan pusat Buddha berdaftar serta diluluskan akan menerima bantuan sebanyak RM2,000 dan menyasarkan sehingga 1,000 organisasi di seluruh negara. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan