IPOH, 17 April (Bernama) -- Dua wanita warga emas maut manakala dua lagi cedera dalam nahas membabitkan sebuah kereta dan van di Jalan Lama Hala Kati, Kampung Lubok Chapin dekat Kuala Kangsar hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada 2.38 petang, sebelum pihak bomba tiba di lokasi pada 3.03 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua wanita yang menaiki Perodua Myvi masing-masing berumur 67 dan 69 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“Dua mangsa menaiki van Nissan Vanette iaitu seorang wanita berusia 60 tahun dan seorang lelaki berumur 29 tahun mengalami kecederaan selepas tersepit dalam kenderaan itu,” katanya.
Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Kangsar.
Operasi menyelamat tamat pada 4.09 petang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial