EKONOMI

Kerajaan Komited Kepada Reformasi Dasar, Libat Urus Dengan Syarikat, Pengurus Dana - PM Anwar

20/04/2026 12:27 PM

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Kerajaan terus komited terhadap pembaharuan dasar dan  libat urus yang berterusan dengan syarikat dan pengurus dana, yang mempunyai pilihan dalam menentukan destinasi pelaburan serta lokasi operasi pembuatan mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata usaha itu akan diteruskan dan Malaysia akan melaksanakannya dengan penuh disiplin.

“Perkembangan di Asia Barat sedang memberi kesan kepada pasaran global, mendorong kenaikan harga tenaga serta mempengaruhi aliran modal dari beberapa pasaran,” kata Anwar ketika merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, dana global telah membeli lebih US$2 bilion bon Malaysia, iaitu aliran masuk tertinggi dalam tempoh 10 bulan.

Beliau berkata ringgit merupakan mata wang berprestasi terbaik di Asia selama dua tahun berturut-turut manakala ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus tahun lepas.

Selain itu, Malaysia turut menarik pelaburan pada paras tinggi, didorong oleh sektor pembuatan, semikonduktor dan aeroangkasa.

"Semua pencapaian ini tidak diperoleh tanpa usaha," kata beliau.

Anwar berkata kalangan pelabur menyaksikan usaha kerajaan yang konsisten dalam melaksanakan komitmennya.

“Mereka melihat ekonomi yang kekal teguh meskipun persekitaran semakin mencabar, dan mereka turut menyaksikan sesuatu yang jarang disebut oleh rakyat Malaysia sendiri, iaitu negara ini menghasilkan produk yang benar-benar diperlukan dunia,” kata Anwar.

Beliau berkata terdapat syarikat tempatan yang menghasilkan struktur sayap bagi sebahagian pesawat komersial yang digunakan secara meluas di seluruh dunia.

“Mereka juga menghasilkan komponen berketepatan tinggi untuk enjin aero yang digunakan bagi penerbangan jarak jauh merentasi benua,” katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata kilang semikonduktor di Pulau Pinang dan Kulim mengendalikan proses pemasangan, pengujian dan pembungkusan cip yang digunakan dalam sistem pertahanan dan keselamatan.

“Sebuah syarikat milik Malaysia turut memegang status pembekal Tier-1 kepada pengeluar enjin aero global terkemuka, dengan menghasilkan komponen di Malaysia dan hanya beberapa negara sahaja diberikan kepercayaan untuk menghasilkannya," kata beliau.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan