MUAR, 20 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima sebanyak 203,918 permohonan daripada orang awam untuk meminta platform media sosial menurunkan pelbagai kategori kandungan bagi tempoh 1 Jan hingga malam tadi.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata daripada jumlah tersebut, 91 peratus daripada kandungan yang dimohon untuk diturunkan adalah berkaitan perjudian dan penipuan dalam talian.
"Daripada angka tersebut, 61 peratus adalah dalam kategori perjudian. Untuk scam angkanya adalah 30 peratus. Jumlah ini meningkat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Kempen Internet Selamat (KIS) di Perpustakaan Mini Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail Hab Pendidikan Tinggi Pagoh di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Pengarah Urusan MCMC Abdul Karim Fakir Ali dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya.
Fahmi berkata baki kandungan lain yang turut diminta untuk diturunkan melibatkan pornografi, buli atau gangguan serta perkhidmatan yang tidak dibenarkan.
Beliau berkata sebanyak 81 peratus kandungan perjudian dalam talian dikenal pasti berada di platform Facebook, manakala 58 peratus kandungan scam juga dikesan di platform sama.
“Untuk kandungan pornografi, 99 peratus dilaporkan berada di TikTok, manakala bagi buli atau gangguan, 90 peratus dikenal pasti di Tumblr.
“Ini semua adalah berdasarkan laporan daripada orang awam. Apabila ada aduan, MCMC akan ambil tindakan sewajarnya,” kata beliau.
Berhubung KIS, setakat 31 Mac lepas, sebanyak 47 program dilaksanakan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara dengan penyertaan seramai 23,196 mahasiswa.
Kempen itu merupakan usaha berterusan Kementerian Komunikasi melalui MCMC untuk memperkasa belia menghadapi ancaman dunia digital.
Program hari ini melibatkan 80 pelajar dan 20 fasilitator Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari IPT sekitar Pagoh menyertai program berkenaan, termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial