EKONOMI

MTTSL Berkembang Kepada Logistik Bersepadu, Platform Perkapalan Khusus - Rakuten Trade

20/04/2026 04:15 PM

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) --  MTT Shipping and Logistics Bhd (MTTSL) menyelesaikan pembinaan operasi kemudahan pengangkutan bersepadunya (IFF) di Kota Kinabalu dan depot baharu di Pulau Indah/Pelabuhan Klang, yang disasarkan beroperasi pada suku kedua 2026 selaras dengan hasratnya untuk berkembang melangkaui perniagaan tradisionalnya. 

Menurut Rakuten Trade, syarikat itu juga telah meneroka segmen bersebelahan, dengan dua kapal tangki kimia sedang dalam pembinaan dan dijadualkan untuk penghantaran pada separuh kedua 2026, manakala sebuah kapal tunda dan tongkang yang diperoleh pada akhir 2025 telah dihantar pada Januari 2026. 

“Ini dengan jelasnya menggambarkan bahawa kumpulan ini bukan lagi pengendali kapal domestik tetapi sedang berubah sebagai platform logistik bersepadu dan perkapalan khusus yang lebih luas,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini. 

Menurut firma penyelidikan itu, MTTSL merancang untuk mengukuhkan lagi jejak infrastrukturnya dengan menambah tiga lagi IFF dan meningkatkan kapasiti depot menjelang 2028. 

Firma itu menyatakan bahawa depot di Kuching dan Bintulu dijangka masing-masing menambah 1,500 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) dan 3,500 TEU kapasiti penyimpanan, manakala IFF di kedua-dua lokasi dijadualkan untuk beroperasi menjelang 2028.

Dalam pada itu, IFF Pelabuhan Klang juga disasarkan siap menjelang 2028, sekali gus melengkapi rangkaian logisitk kumpulan yang semakin berkembang. 

Menurut Rakuten Trade, IFF Kota Kinabalu akan menyediakan gudang bilik sejuk pelbagai suhu seluas 60,000 kaki persegi dan gudang ambien seluas 80,000 kaki persegi, manakala kemudahan di Pelabuhan Klang secara keseluruhannya direka bentuk sebagai IFF. 

“Kami mengunjurkan MTTSL merekodkan keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak RM327.9 juta dan RM343.8 juta masing-masing bagi tahun kewangan 2026 (TK2026) serta TK2027,” katanya. 

Rakuten Trade mengekalkan saranan ‘beli’ dengan nilai saksama RM1.31 berdasarkan nisbah harga-pendapatan 10 kali ganda berbanding pendapatan sesaham TK2026, berdasarkan rancangan pengembangannnya yang agresif dan hasil dividen yang menarik. 

MTTSL dijadualkan untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 21 April dengan harga tawaran awam permulaan (IPO) RM1.03 sesaham. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan