KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Pembantu kedai makan yang mengintai wanita di tandas stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sentul pada minggu lepas, didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu selepas Abdul Samad Rosman, 23, mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan lelaki tersebut dipenjara empat bulan, jika gagal menjelaskan denda.
Abdul Samad didakwa mengaibkan kehormatan mangsa berusia 44 tahun di tandas wanita LRT Sentul, Bandar Baru Sentul pada 8 pagi 16 April.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Shafika Azwa Fikri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Bagaimanapun peguam CH Low dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili lelaki itu memohon hukuman ringan kerana anak guamnya tidak berkemampuan selain telah insaf dan kesal atas perbuatannya.
Sebelum ini, mangsa berkongsi rakaman wajah suspek yang ditahan polis bantuan di stesen LRT Sentul menerusi rakaman video tular di media sosial dan menasihatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial