KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Kerajaan memberi jaminan tidak akan melakukan sebarang perubahan dasar mengenai jaminan subsidi bahan api secara mengejut, meskipun krisis geopolitik di Asia Barat terus memberi tekanan kepada pasaran tenaga global.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan pendekatan yang diambil kerajaan adalah berlandaskan kepada penelitian data yang menyeluruh, dan bukannya keputusan dibuat secara terburu-buru.
Beliau berkata kerajaan sedar akan cabaran konflik di Asia Barat yang mungkin berlarutan bagi tempoh satu hingga dua tahun, namun setiap langkah diambil akan mengutamakan perlindungan kepada majoriti rakyat.
“Jadi, ini sudah pasti cabaran yang kita tahu dan dari situlah kita kena melihat pada data apa yang perlu kita laksanakan untuk memastikan bekalan tenaga kita terjamin, rakyat akan terlindung, pertumbuhan ekonomi terus berkembang, pihak industri dibantu mengikut apa yang dilakukan sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Bernama Radio, membincangkan topik “Krisis Geopolitik Pacu Peralihan Tenaga Malaysia” di Wisma Bernama di sini hari ini.
Terdahulu, ketibaan beliau di Wisma Bernama disambut Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak, pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Harlina Samson serta barisan pengurusan tertinggi agensi berita itu.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata meskipun krisis tenaga global merupakan gangguan terbesar dalam sejarah dunia, kerajaan tetap komited untuk mengekalkan bantuan kepada rakyat.
Beliau berkata kos subsidi bulanan kini meningkat mendadak kepada sekitar RM6 bilion hingga RM7 bilion sebulan, namun kerajaan tidak akan membiarkan perubahan itu menjejaskan perancangan pembangunan ekonomi negara.
“Dasar subsidi sedia ada, termasuk bagi petrol RON95 dan diesel di Sabah dan Sarawak, akan terus dikekalkan mengikut keperluan data semasa bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan kos sara hidup secara mendadak,” katanya.
Fadillah berkata kerajaan melalui Jawatankuasa Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk pemain industri bagi merangka strategi yang seimbang sebelum menyusun dasar.
“Pertama sekali, bagaimana pihak terkesan ini akan dibantu? Apa program dan perancangan kerajaan untuk membantu meringankan supaya ekonomi kita akan terus berkembang, rakyat terus dibantu dan tidak berlaku misal kata pemberhentian pekerja (retrenchment), ini semua dilihat secara holistik,” katanya.
Mengenai noktah konflik berkenaan, Fadillah berkata kerajaan kini sedang mempersiapkan negara dan rakyat dengan senario terburuk (worst-case scenario) sekiranya krisis berlarutan hingga tiga tahun.
Beliau berkata ini kerana gangguan rantaian bekalan minyak global susulan penutupan Selat Hormuz sejak awal Mac turut memberi impak kepada Malaysia, memandangkan laluan itu mengendalikan kira-kira 25 peratus bekalan tenaga dunia.
Bagaimanapun, beliau berkata syarikat minyak nasional Petronas telah mengambil langkah proaktif untuk mencari sumber bekalan alternatif dari rantau Asia Pasifik, Australia, Amerika Selatan, dan Afrika bagi memastikan bekalan domestik kekal stabil.
Selain itu, Fadillah berkata kerajaan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan dan penyeludupan di sempadan.
“Ini tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan atau agensi penguat kuasa sahaja, melainkan dengan penglibatan seluruh rakyat. Kalau ada orang menyalahgunakan, maklumkan supaya kita dapat memastikan bekalan untuk rakyat kita, bukan untuk dijual kepada negara lain.
“Lebih penting juga, gunakan tenaga dan air secara berhemat. Kalau ini kita dapat laksanakan bersama, maka kita akan dapat pastikan keterjaminan bekalan itu dapat dilanjutkan dan dipanjangkan hayatnya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial