JENAYAH & MAHKAMAH

Aksi Tidak Senonoh Di Kubur: Mahkamah Tinggi Ketepi Penjara 12 Bulan, Sabitan Kekal

21/04/2026 01:32 PM

GEORGE TOWN, 21 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengenepikan hukuman penjara 12 bulan terhadap pasangan kekasih yang melakukan perbuatan tidak senonoh di sebuah tanah perkuburan Cina pada Mac lepas.

Hakim Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan difailkan pasangan itu untuk mengenepikan hukuman dijatuhkan Mahkamah Majistret di sini pada 26 Mac, bagaimanapun mengekalkan sabitan terhadap mereka.

Rofiah memerintahkan hukuman penjara ke atas pasangan itu digantikan dengan tempoh penjara dari tarikh tangkap, iaitu 23 Mac sehingga pelupusan semakan pada hari ini.

Sehubungan dengan itu, pasangan tersebut diperintahkan untuk dilepaskan serta-merta.

Terdahulu, peguam Datuk Naran Singh yang mewakili pasangan itu memaklumkan telah mengemukakan representasi kepada pihak pendakwaan berhubung hukuman tersebut yang disifatkan sebagai keterlaluan.

“Sabitan dikekalkan namun kami memohon agar hukuman penjara 12 bulan diketepikan kerana terlalu berat,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muna Mohamed Jaafar tidak membantah permohonan itu dan mengesahkan pihak pendakwaan menerima representasi yang dikemukakan.

Sementara itu, Rofiah dalam penghakimannya berkata mahkamah tidak mempunyai alasan untuk menolak persetujuan antara pihak pendakwaan dan pembelaan, selaras dengan representasi yang dikemukakan.

Pada 26 Mac, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap pasangan tersebut selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di sebuah tanah perkuburan Cina di Batu Gantung, Ayer Itam pada 8.30 pagi 22 Mac.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan