SUKAN

Mohd Azizulhasni Seru Pelumba Gandakan Usaha, Keluar Dari Zon Selesa

21/04/2026 01:37 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang mahu barisan pelumba menggandakan usaha dan menampilkan prestasi terbaik pada saingan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional Nilai, bermula Jumaat ini.

Pelumba dengan julukan The Pocket Rocketman itu berkata harapan yang diletakkan bukan hanya kepada beliau sahaja, sebaliknya kepada semua pelumba negara agar berani keluar dari zon selesa serta berusaha melangkaui tahap keupayaan masing-masing.

“Disebabkan kita berlumba sebagai tuan rumah, harapan saya bukan untuk diri sendiri tetapi untuk semua atlet supaya memberikan yang terbaik. Bukan sekadar terbaik yang mereka ada, tetapi lebih baik daripada apa pernah dicapai sebelum ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mohd Azizulhasni turut berkongsi pengalaman beliau yang sering beraksi dalam keadaan tidak sempurna demi negara.

“Saya sendiri kadang kala berlumba, walaupun sakit, saya akan ketepikan semua itu demi semangat untuk menaikkan nama negara. Banyak kali saya berlumba dalam keadaan cedera dan belum pulih sepenuhnya, tetapi saya tetap beri keputusan terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, atlet kelahiran Dungun, Terengganu itu percaya tekanan merupakan elemen penting yang mampu membantu atlet keluar daripada zon selesa sekali gus berkembang menjadi lebih dominan dalam perlumbaan.

Mengimbas kembali perjalanan karier beliau sejak 2009, Mohd Azizulhasni mengakui pernah berdepan kritikan hebat setiap kali gagal menyerlah.

“Dulu, setiap kali saya tidak beraksi dengan baik, saya dikritik hebat dalam akhbar. Pada awalnya ia (situasi) menyakitkan, tetapi akhirnya ia membentuk saya menjadi seperti hari ini. Saya mahu atlet kita jadi begitu, tidak takut melangkah keluar dari zon selesa dan sentiasa memberi sepenuh komitmen,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa setiap atlet perlu menghargai peluang dan sokongan yang diberikan, termasuk kemudahan serta pembiayaan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan