AM

DSA 2026: Boustead Tandatangan Perjanjian Strategik Dengan ASELSAN Dan Uzma

22/04/2026 08:11 AM

 

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Boustead Holdings Berhad (Boustead) hari ini menandatangani Perjanjian Kerjasama dengan syarikat elektronik pertahanan terkemuka Turkiye iaitu ASELSAN Elektronik Sanayi ve Ticaret A.Ş. (ASELSAN) serta Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat teknologi angkasa dan geospatial Malaysia iaitu Uzma Space and Defence Sdn Bhd (US&D).

Boustead dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kerjasama strategik dengan rakan teknologi global dan tempatan itu, bertujuan memperkukuh keupayaan komunikasi satelit (SATCOM) dan perisikan geospatial (GEOINT) Malaysia.

Perjanjian tersebut ditandatangani Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad, Naib Presiden Eksekutif Strategi Komunikasi dan Maklumat ASELSAN Zekeriyya Şahin serta Ketua Pegawai Eksekutif US&D Mohammad Fadhli Jamaluddin.

Majlis itu disaksikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ahmad Sabirin berkata melalui kerjasama dengan pemain teknologi global dan tempatan, syarikat itu menyasarkan untuk memperkukuh keupayaan nasional, meningkatkan kesedaran situasi serta menyokong operasi pertahanan yang lebih berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan Boustead dalam memajukan keupayaan Malaysia dalam komunikasi satelit dan perisikan geospatial,” katanya.

Perjanjian Kerjasama bersama dengan ASELSAN, mencerminkan hasrat kedua-dua pihak untuk bersama-sama meneroka peluang dalam pembangunan sistem komunikasi satelit (SATCOM) merangkumi segmen darat dan angkasa, serta potensi pembangunan satelit komunikasi orbit geostasionari (GEO) negara Malaysia.

Di bawah perjanjian itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam aspek promosi, pemasaran serta potensi pelaksanaan penyelesaian komunikasi satelit ASELSAN, selain berusaha menubuhkan pasukan pembangunan satelit bersama-sama bagi menyokong usaha penglokalan dan pembangunan keupayaan jangka panjang.

Kerjasama ini juga akan melibatkan bengkel teknikal mengenai seni bina misi SATCOM serta inisiatif latihan untuk pihak berkepentingan, termasuk Angkatan Tentera Malaysia.

Sementara itu Zekeriyya Şahin berkata dengan menggabungkan kepakaran teknologi ASELSAN dan kehadiran kukuh Boustead pada peringkat tempatan, mereka menyasarkan untuk menyumbang kepada pembangunan keupayaan komunikasi yang maju dan mampan untuk wakil Malaysia Uzma Berhad.

MoU dengan US&D pula mencerminkan hasrat kedua-dua pihak untuk meneroka dan mewujudkan keupayaan strategik bersama dalam bidang SATCOM dan perisikan geospatial (GEOINT), khususnya bagi menyokong aplikasi pertahanan, keselamatan dan keperluan negara.

Kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pembangunan sistem reka bentuk satelit berbilang orbit, serta platform perisikan geospatial (GEOINT) yang menggabungkan imejan satelit, analitik berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan penggabungan data.

Kerjasama ini akan meneroka beberapa kes penggunaan utama termasuk pemantauan keselamatan sempadan, kesedaran domain maritim, perlindungan infrastruktur kritikal serta tindak balas bencana.

Wakil Uzma Berhad Datuk Kamarul Redzuan berkata gabungan kepakaran mereka dalam teknologi satelit dan analitik geospatial bersama dengan kedudukan strategik Boustead, bertujuan membangunkan penyelesaian yang dapat meningkatkan kesedaran situasi serta keberkesanan operasi.

Beliau menegaskan bahawa US&D memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan bersepadu merangkumi komunikasi satelit, data geospatial dan analitik berasaskan AI, sekali gus membolehkan peralihan daripada sekadar pengumpulan data kepada penyampaian risikan yang boleh bertindak secara langsung bagi menyokong keperluan operasi sebenar.

Perjanjian-perjanjian ini merupakan rangka kerja tidak mengikat untuk kerjasama dan tidak mewujudkan sebarang obligasi kewangan pada peringkat ini, dengan inisiatif khusus akan dimuktamadkan melalui perjanjian definitif yang berasingan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan