KOTA BHARU, 21 April (Bernama) -- Tindakan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun bertindak sebagai “tekong darat” demi upah RM100 bagi setiap pendatang tanpa izin dibawa masuk membawa padah apabila dia ditahan polis di sebuah rumah Kampung Bunohan, Tumpat, semalam.
Lebih mengejutkan, remaja didapati positif dadah itu sanggup menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton milik abangnya secara senyap-senyap untuk menyeludup pendatang asing dari sempadan ke Stesen Bas Kota Bharu.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Ahmad Radzi Hussain berkata terdahulu, anggota Batalion 9 PGA yang melakukan operasi kira-kira 11.30 malam telah mengekori kenderaan terbabit yang memecut laju sebelum berjaya memintasnya di Jalan Terbok-Kelaboran Belukar, Tumpat.
“Bagaimanapun, dua lelaki berjaya melarikan diri manakala lima warga asing dijumpai bersembunyi di tempat duduk belakang.
“Hasil siasatan lanjut, pasukan operasi menyerbu sebuah rumah di Kampung Bunohan pada 4 pagi dan berjaya menahan remaja terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kenderaan terbabit, lima pasport, empat telefon bimbit berserta wang tunai pelbagai mata wang turut dirampas dengan keseluruhannya bernilai RM126,551.
Ahmad Radzi berkata lima warga asing berkenaan yang terdiri daripada empat lelaki warga India dan seorang warga Sri Lanka disyaki diseludup masuk menerusi laluan tidak sah dari Thailand dengan menaiki perahu menyeberangi sungai.
"Siasatan mendapati mereka telah membayar kira-kira RM3,000 setiap seorang kepada ejen di negara asal untuk perjalanan masuk ke Malaysia.
"Kesemua individu itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 55(e) dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial