JENAYAH & MAHKAMAH

MHO Gesa PDRM Siasat Perekrut Sindiket Pemerdagangan Manusia Libatkan Belia

22/04/2026 04:25 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap perekrut yang memperdaya golongan muda hingga menjadi mangsa pemerdagangan manusia di luar negara.

Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata pihaknya mendapati banyak mangsa pemerdagangan manusia kini tidak lagi diperdaya melalui tawaran kerja di media sosial, sebaliknya direkrut menerusi kenalan rapat atau rakan sendiri.

“Kita dapati trend pemerdagangan manusia terutamanya di Johor melibatkan mangsa yang direkrut oleh individu dikenali seperti rakan sekampung atau kenalan rapat, menyebabkan mereka lebih mudah percaya tanpa membuat semakan lanjut,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata antara kes terbaru melibatkan empat pemuda dalam lingkungan 21 hingga 31 tahun dari Pontian, Johor, yang diperdaya oleh rakan sekampung untuk menerima tawaran kerja di Laos sebelum dijual dan dipaksa menjadi penipu (scammer) di sebuah lokasi sindiket penipuan di Kemboja.

Beliau berkata sebelum ke Laos, sindiket itu turut mengarahkan mangsa menipu keluarga dengan mendakwa mereka bekerja di Singapura bagi mengelakkan sebarang syak, namun sebaik tiba di Kemboja mereka dipaksa menjadi scammer dan dipukul serta dikenakan renjatan elektrik jika enggan menurut arahan.

Hishamuddin berkata kesemua mangsa tersebut berjaya dibawa pulang ke tanah air pada 5 April lepas dengan bantuan MHO selepas melalui rundingan dengan pihak berkuasa berkaitan.

Beliau berkata laporan polis telah dibuat oleh keluarga mangsa dan berharap pihak polis mengambil tindakan serta mempercepatkan siasatan terhadap individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan perekrutan mangsa berkenaan.

“Kes pemerdagangan manusia ini bukan sekadar membawa balik mangsa, seharusnya ada tindakan lanjut seperti mendapatkan keterangan dan lengkapkan siasatan. Jika ada bukti kukuh, kita harap pendakwaan wajar dibuat dan keempat-empat mangsa ini bersetuju dan bersedia menjadi saksi pendakwaan sekiranya dipanggil,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada empat mangsa pemerdagangan orang yang hanya mahu kenali sebagai Muhammad Hafiz, 21, berkata dia pada awalnya dijanjikan bayaran hingga USD1,000 untuk membaca skrip kerja di Kemboja. 

“Kami kenal Mr A (perekrut) selama dua bulan di kedai makan, dia suruh kami sertai grup WhatsApp ‘Angkatan Taat Setia (ATS)’ untuk dapatkan kerja di Kemboja. Selepas sampai di sana, kami disuruh buat love scam orang Malaysia. Setiap hari kena pukul, saya tak tahan kerja di sana, saya curi-curi WhatsApp ibu untuk minta tolong,” jelasnya.

Hafiz mendakwa individu tersebut masih lagi berlegar di kawasan kampungnya untuk mencari mangsa baharu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan