AM

Selangor Bentang Pencapaian RS-1 Pada Sidang Khas Pertengahan Tahun Ini - Menteri Besar

22/04/2026 05:22 PM

SHAH ALAM, 22 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor akan membentangkan pencapaian penuh Rancangan Selangor Pertama (RS-1) menerusi satu sidang khas pada pertengahan tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari. 

Beliau berkata dapatan awal pelan pembangunan lima tahun negeri itu menunjukkan sebanyak 79 peratus daripada keseluruhan pembangunan dirancang berjaya dicapai, dengan 65 peratus Projek, Program dan Inisiatif (PPI) disiapkan sepenuhnya.

“Masih ada dua angka penting yang masih belum diterima iaitu kadar pertumbuhan biasanya akan diumum Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sekitar bulan enam (Jun) atau tujuh (Julai), dan keduanya nilaian ekonomi tahun lepas, Selangor berada pada sekitar RM432 billion. Jadi kita perlu tunggu angka 2025,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Showcase RS-1 di Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini. 

Amirudin berkata dari segi prestasi ekonomi, pertumbuhan negeri mengatasi sasaran pertumbuhan dengan mencatatkan kadar pertumbuhan 7.9 peratus dari tahun ke tahun dengan jumlah pelaburan yang diluluskan juga berada pada purata RM61.3 billion setahun dalam tempoh RS-1.

Beliau berkata jumlah pelaburan itu yang turut melibatkan syarikat-syarikat tempatan, menunjukkan Selangor tidak bergantung secara keterlaluan terhadap pelaburan dari luar negara sekali gus menjadi faktor penting dalam membina negeri yang adaptif dan berdaya tahan dalam berdepan sebarang krisis.

“Dari segi angka kemiskinan, berlandaskan kepada data DOSM, Selangor mengatasi isu kemiskinan tegar pada 2024. Walaupun begitu, kemiskinan mutlak masih mencatatkan kadar 0.9 peratus dan meskipun kita telah mengurangkan kadar ini berbanding 1.5 peratus pada 2022 kita masih perlu melihat secara lebih serius isu kemiskinan relatif.

“Misalnya pada 2022, kemiskinan relatif di Selangor berada pada kadar 14.2 peratus dan turun kepada 8.5 peratus pada 2024. Kita masih ada ruang yang luas untuk perbaiki aspek ini dalam Rancangan Selangor Kedua dan ini memerlukan dasar pekerjaan serta semakan keberkesanan program bantuan kebajikan termasuk kemajuan serta dasar penamatan yang lebih efektif,” katanya. 

Semalam, media melaporkan Ketua Pembangkang Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa kerajaan negeri gagal mengambil serius titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah serta tidak menunjukkan hala tuju jelas pentadbiran selepas tamatnya RS-1 tahun lepas.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan