AM

Kerja Penambahbaikan Infrastruktur Tangani Banjir Lumpur Di Bukit Kiara Hampir Selesai

22/04/2026 04:53 PM

PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur bagi menangani kejadian banjir lumpur di Bukit Kiara, Kuala Lumpur hampir selesai, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.

Beliau berkata susulan insiden Sabtu lepas itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menjalankan pemantauan dan menyiapkan infrastruktur penambahbaikan untuk menampung air hujan di kawasan terlibat.

Hannah berkata satu pusat kawalan membabitkan JKR, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kontraktor diwujudkan bagi menjalankan pemantauan berterusan di lokasi kejadian. 

“Sekarang ini agak mencabar kerana setiap kali hujan, banjir lumpur itu mengalir keluar. Kita telah wujudkan pusat kawalan di situ dan DBKL, JKR ada di lokasi bersama kontraktor.

“Setakat ini saya nampak kerja penambahbaikan hampir selesai tetapi (keberkesanannya) kena diuji (terlebih dahulu),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Tuition Mission Putrajaya 2026 di sini hari ini.

Hannah berkata beliau telah memaklumkan perkembangan insiden berkenaan kepada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming untuk tindakan susulan.

Sebelum ini, Hannah berkata DBKL sudah mengarahkan pemberhentian kerja serta-merta membabitkan sebuah projek di Zon Pentadbiran Taman Persekutuan Bukit Kiara, Kuala Lumpur susulan kejadian banjir lumpur di Jalan Abang Haji Openg, Sabtu lepas.

Berdasarkan laporan awal, kejadian berlaku susulan hujan lebat antara 3.30 hingga 5.30 petang yang menyebabkan limpahan air dari tapak projek berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail Abdul Jabar Ahmad Junid berkata limpahan air dari tapak projek pada Sabtu lepas merupakan kejadian paling teruk yang pernah menjejaskan kediaman penduduk di kawasan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan