AM

ECRL Pemangkin Perubahan Landskap Logistik Terengganu - Exco

22/04/2026 07:00 PM

KUALA TERENGGANU, 22 April (Bernama) -- Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu yang kini mencapai kemajuan sebanyak 97 peratus dilihat sebagai pemangkin utama perubahan landskap logistik, sekali gus menjadikan negeri ini sebagai hab strategik Pantai Timur.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Hanafiah Mat berkata projek tersebut dijangka membawa limpahan manfaat ekonomi kepada rakyat Terengganu, khususnya dengan pelaksanaan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di enam stesen utama di Terengganu.

“TOD yang dilihat sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu ini bakal membuka peluang kepada pembangunan komersial, perniagaan, pelaburan dan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat,” katanya dalam ucapan penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Hanafiah berkata bagi memastikan manfaat yang menyeluruh, kerajaan negeri akan meneliti beberapa aspek termasuk fasiliti di kawasan sekitar stesen ECRL.

Katanya ia merangkumi keperluan jalan penghubung ke stesen, sistem trafik yang tersusun, parkir awam, pencahayaan di kawasan stesen dan jaringan pengangkutan akhir. 

Dalam perkembangan berasingan, Hanafiah berkata kerja-kerja baik pulih dan pembinaan jambatan di Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris di Tasik Kenyir dekat Hulu Terengganu telah bermula pada 5 Jan dan dijangka siap pada November tahun depan.

Katanya buat masa ini pihak kontraktor sedang melaksanakan kerja-kerja meliputi penyediaan dan pembersihan tapak serta membaik pulih jalan lencongan sementara untuk laluan jentera.

“Sehingga 21 Mac  2026, peratus kemajuan kerja sebenar di tapak adalah sebanyak 5.52 peratus, berbanding peratus kemajuan jadual sebanyak 4.34 peratus, iaitu mendahului jadual selama tujuh hari,” katanya.

Jalan yang menghubungkan Tasik Kenyir dan Felda Aring di Gua Musang, Kelantan itu ditutup sepenuhnya sehingga kini akibat berlaku runtuhan tanah yang serius berikutan hujan lebat pada musim tengkujuh pada November 2024.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri Datuk Dr Azman Ibrahim berkata menjelang mula beroperasinya ECRL yang dijangka Januari 2027, kerajaan negeri sedang mengenal pasti pelabur berpotensi untuk membangunkan pusat sehenti yang berfungsi sebagai hab pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil agromakanan bagi tujuan eksport.

Katanya antara komponen utama yang dicadangkan adalah pusat transit dan kuarantin haiwan ternakan, pusat pengumpulan dan pembungkusan hasil tani, bangunan gudang penyimpanan produk sejuk beku dan gudang penyimpanan input pertanian.

“Kerajaan negeri telah mengenal pasti tapak tanah yang sesuai di Teluk Kalong, Kemaman untuk ditawarkan kepada pelabur yang berminat bagi tujuan ini,” katanya pada sesi penggulungan persidangan yang sama. Persidangan DUN Terengganu bersambung esok. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan