JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM, Perkeso Kukuhkan Kerjasama Tingkat Pencegahan Pemalsuan Tuntutan Dana

22/04/2026 08:22 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memperkukuh kerjasama strategik bagi meningkatkan langkah pencegahan pemalsuan tuntutan dana perlindungan sosial negara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata langkah itu, melibatkan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP), sistem permohonan serta pemantauan yang lebih rapi, bagi memastikan dana di bawah program Perkeso tidak dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata untuk tujuan itu, perbincangan bersama Perkeso penting bagi mengenal pasti kelemahan yang boleh membuka ruang kepada manipulasi oleh individu atau syarikat.

“Sudah tiba masanya kita mencari jalan penyelesaian bagi tambah baik undang-undang, peraturan dan sistem yang dilaksanakan oleh Perkeso bagi mengekang ketirisan dana,” katanya ketika sesi pertemuan beliau dengan pihak Perkeso di Ibu Pejabat Perkeso di sini hari ini.

Ahmad Khusairi berkata berdasarkan rekod tahun 2021, SPRM dengan kerjasama Perkeso telah membuka sebanyak 182 kertas siasatan melibatkan tangkapan 302 individu, manakala pada tahun 2022 dan 2023, menerusi Ops Hire 1 dan Hire 2, sejumlah 120 kertas siasatan telah dibuka di seluruh negara melibatkan tangkapan 155 orang individu. 

Beliau berkata, setakat ini 255 orang telah dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu, iaitu kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammad berkata pihaknya komited memperkukuh usaha membanteras penipuan melalui penubuhan Unit Khas Penyiasatan Fraud.

Beliau berkata Perkeso turut menghargai kerjasama SPRM dalam menjalankan siasatan terhadap syarikat, ejen dan individu yang mengemukakan tuntutan palsu.

“Pelbagai langkah penambahbaikan telah dilaksanakan, termasuk mewujudkan Unit Khas Penyiasatan Fraud bagi mengesan pemalsuan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Perkeso akan mencadangkan pelaksanaan sistem bersepadu bagi mengintegrasi data dengan agensi lain termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebagai mekanisme semak dan imbang bagi setiap permohonan dana.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan