EKONOMI

PayNet Catat 8.44 Bilion Transaksi Pada 2025, Bukti Pembayaran Digital Jadi Pilihan Utama

23/04/2026 02:54 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) telah mencatat sejumlah 8.44 bilion transaksi pembayaran digital pada 2025, sekali gus membuktikan kaedah itu terus menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, rangkaian pembayaran nasional itu memaklumkan perkembangan berkenaan didorong oleh penerimaan meluas dalam kalangan bank, institusi bukan bank, perniagaan dan pengguna.

Transaksi berkenaan turut merangkumi penggunaan harian dalam sektor runcit, pengangkutan, pemindahan antara individu serta perniagaan kecil.

Ketua Pegawai Eksekutif PayNet Praveen Rajan berkata pertumbuhan berterusan dalam pembayaran digital itu mencerminkan perubahan makin ketara dalam cara rakyat menguruskan kewangan harian.

“Pembayaran digital ini semakin menjadi kaedah pilihan di pelbagai peringkat pengguna, perniagaan dan perkhidmatan awam dan digerakkan oleh inovasi serta kerjasama melibatkan pihak bank, institusi bukan bank, peniaga serta kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, PayNet menyifatkan pertumbuhan dalam 2025 telah dipacu oleh peningkatan penyertaan merentasi ekosistem apabila bank-bank dan institusi bukan bank memperluas akses untuk pengguna dan peniaga.

Jumlah transaksi bank berkembang sebanyak 30.69 peratus manakala transaksi bukan bank mencatat pertumbuhan 71.7 peratus yang memaparkan ekosistem lebih pelbagai serta inklusif.

Peningkatan itu menyumbang kepada purata 6.3 juta transaksi setiap hari berbanding 2024 selain peningkatan aktiviti ketika tempoh perayaan seperti cuti akhir tahun dan sambutan utama.

Pengembangan itu turut disokong oleh penggunaan lebih meluas dalam kalangan perniagaan dan rakyat.

“Sebanyak 681,250 tempat penerimaan baharu DuitNow QR diperkenalkan, termasuk 267,780 dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadikan jumlah keseluruhan titik sentuh berdaftar di seluruh negara melebihi tiga juta,” menurutnya.

PayNet memaklumkan, peningkatan penggunaan pembayaran digital menimbulkan cabaran baharu, khususnya penipuan kewangan semakin canggih, termasuk penggunaan kecerdasan buatan, deepfake dan kejuruteraan sosial yang lebih sukar untuk dikesan dan dicegah.

Sebagai tindak balas, usaha menyeluruh terus diperkukuh melalui kerjasama erat antara institusi kewangan, pengawal selia dan rakan dalam ekosistem.

Ini termasuk National Fraud Portal (NFP) atau Portal Antipenipuan Nasional yang dibangunkan oleh PayNet dan berfungsi sebagai platform pusat untuk perkongsian maklumat antara institusi, mempercepatkan pengenalpastian akaun keldai serta penyelarasan tindakan dalam menangani aktiviti penipuan di samping menyokong usaha pemulangan dana. 

Kesemua usaha itu, menurut PayNet, menyumbang dalam membantu mengesan kira-kira 57,700 akaun mangsa dengan kira-kira RM46 juta dana dikenal pasti dan sedang dalam proses dipulangkan kepada pengguna terjejas. 

“Pertumbuhan pembayaran digital menuntut penekanan berterusan terhadap aspek kepercayaan dan keselamatan. Usaha memperkukuh perlindungan terhadap penipuan sambil memastikan infrastruktur kekal berdaya tahan dan mudah diakses akan terus menjadi keutamaan utama bagi ekosistem,” kata Praveen.

Selain itu, peningkatan penggunaan domestik membuka ruang kepada perniagaan di Malaysia untuk menyertai aliran pembayaran rentas sempadan melalui rangkaian DuitNow QR yang semakin berkembang dengan transaksi QR rentas sempadan meningkat 2.5 kali ganda kepada 29.7 juta transaksi pada 2025.

Bagi perniagaan, khususnya PMKS, perkembangan ini membuka akses kepada pasaran pengguna serantau yang lebih luas serta memudahkan penyertaan dalam perdagangan rentas sempadan, menurut PayNet.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan