KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Advanced Defence Systems Sdn Bhd (ADS) dan syarikat Perancis, Safran Electronics and Defense, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka kerjasama dalam mengintegrasikan sistem navigasi inersia termaju ke dalam keupayaan artileri Tentera Darat Malaysia.
Turut hadir menyaksikan pemeteraian MoU itu ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Pengurus Besar ADS, Idris Yeop Hamzah dan Naib Presiden Jualan Safran Electronics and Defense bagi Malaysia, Xavier Mary pada pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di sini, hari ini.
ADS dalam satu kenyaataan memaklumkan bahawa kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam usaha meneroka peluang berkaitan penyelesaian Kedudukan, Navigasi dan Masa (PNT), dengan tumpuan khusus terhadap integrasi Unit Navigasi Inersia Geonyx keluaran Safran ke dalam platform artileri.
Perkongsian itu mencerminkan hasrat kedua-dua pihak untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing bagi menyokong program masa hadapan yang melibatkan sistem artileri miliknya untuk Tentera Darat Malaysia, menurut kenyataan itu.
Menurut syarikat itu, sebuah kumpulan kerja bersama akan ditubuhkan untuk menilai lebih lanjut kemungkinan kerjasama, menentukan pengaturan perkongsian kerja serta menilai keperluan pasaran.
Kerjasama tersebut bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan operasi dan keupayaan ketepatan bagi sistem artileri moden, selain berfungsi sebagai rangka kerja bagi perbincangan berterusan antara kedua-dua pihak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial