EKONOMI

AMS Advanced Material Perluas Kapasiti, Bina Kemudahan Baharu Di Pulau Pinang

23/04/2026 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- AMS Advanced Material Bhd (AMS), pengeluar produk separa siap aluminium dan tembaga, merancang menubuhkan kemudahan Gudang Pengilangan Berlesen (GPB) baharu di Pulau Pinang bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran serta memenuhi permintaan yang kian berkembang daripada segmen semikonduktor dan elektrik serta elektronik (E&E).

Pengarah Urusannya Keh Teng Yang, berkata peluasan itu didorong oleh penggunaan kapasiti sepenuhnya di kilang sedia ada, selain momentum pesanan yang berterusan daripada pelanggan.

“Ketika ini, operasi kami di Pulau Pinang telah mencapai kapasiti maksimum. Dengan adanya kemudahan GPB baharu ini, kami dapat meneroka pertumbuhan selanjutnya.

“Kemudahan ini hampir sama seperti kilang sedia ada, dengan keupayaan pengeluaran sekitar sembilan hingga 10 tan sehari,” katanya pada sidang media selepas penyenaraian di sini hari ini.

Menurut prospektus kumpulan, sebanyak RM8.1 juta daripada hasil kasar tawaran awam permulaan (IPO) diperuntukkan bagi menubuhkan kemudahan GPB baharu yang turut merangkumi pejabat.

Pada pembukaan dagangan, AMS Advanced Material Bhd membuat penampilan sulung mendatar di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 29 sen, dengan 15.91 juta saham diniagakan.

Mengulas prestasi harga saham selepas penyenaraian, Keh berkata kumpulan itu kekal memberi tumpuan kepada pengukuhan asas perniagaannya.

“Kami tidak terlalu bimbang mengenai harga saham. Sebagai pihak pengurusan, fokus utama kami adalah kepada perniagaan. Dengan menyampaikan nilai tambah kepada pemegang saham dan pelanggan serta mencatat prestasi kewangan yang lebih kukuh, harga saham akan mencerminkannya secara semula jadi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu yakin terhadap pertumbuhan berterusan, disokong permintaan pelanggan yang stabil.

Katanya, AMS berada pada kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada perkembangan pesat industri semikonduktor dan E&E, khususnya di Pulau Pinang.

“Kami amat optimis terhadap prospek industri semikonduktor dan segmen E&E. Seperti yang diketahui, Pulau Pinang kini menikmati kemasukan pelaburan yang rancak daripada pengeluar peralatan asal (OEM), termasuk pemindahan pelbagai program dari luar negara,” katanya.

Pada 5 petang, kaunter itu ditutup naik 1.5 sen kepada 30.5 sen, dengan sebanyak 105.83 juta saham diniagakan di Bursa Malaysia.

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan