AM

Perkhidmatan Muhsen Bantu Jemaah Malaysia Di Tanah Suci

23/04/2026 05:18 PM

Daripada Amirul Mohd Sajadi

MAKKAH, 23 April (Bernama) -- Dalam situasi jutaan manusia berhimpun dan pergerakan ibadah yang kompleks, aplikasi Muhsen menjadi ‘talian hayat’ baharu yang membantu jemaah haji Malaysia menjalani ibadah dengan lebih tenang dan teratur di Tanah Suci.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata perkhidmatan Muhsen itu memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pergerakan jemaah sepanjang operasi haji dan mereka boleh mendapatkan bantuan daripada petugas yang dilantik.

“Pasukan Muhsen membantu memastikan pergerakan jemaah haji kita dari Makkah ke Arafah, seterusnya ke Muzdalifah dan Mina dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur,” katanya selepas Majlis Ta'aruf Operasi Haji 2026 di sini, pada Khamis.

Perkhidmatan Muhsen diperkenalkan hasil kerjasama antara Lembaga Tabung Haji dan Holiday Inn Bakkah bagi memperkukuh sokongan di lapangan khususnya ketika fasa kritikal di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Mohd Hisham berkata seorang petugas perkhidmatan Muhsen ditugaskan menjaga kira-kira 25 jemaah membolehkan bantuan diberikan dengan lebih cepat dan bersasar kerana mereka mampu berkomunikasi dalam bahasa Melayu serta Arab.

“Mereka ini kebanyakannya pelajar Malaysia di Arab Saudi yang boleh menjadi penghubung antara jemaah kita dengan pihak tempatan, terutama dalam aspek komunikasi,” katanya.

Beliau berkata peranan pasukan Muhsen tidak terhad kepada ibadah semata-mata, malah turut membantu urusan harian seperti akses ke Raudah, pembelian keperluan serta panduan sepanjang berada di Makkah dan Madinah.

"Jemaah boleh berhubung terus dengan pasukan Muhsen serta mendapatkan maklumat penting dengan pantas melalui aplikasi yang boleh dimuat turun ke telefon bimbit.

"Perkhidmatan ini tidak melibatkan bayaran tambahan kerana telah dimasukkan dalam pakej haji, sekali gus memberi nilai tambah kepada jemaah Malaysia," katanya.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan