EKONOMI

Lebih 31,000 Kes Bankrap Direkodkan Sejak 2021 - Menteri Ekonomi

23/04/2026 04:40 PM

JOHOR BAHRU, 23 April (Bernama) -- Sebanyak 31,517 kes kebankrapan direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 2021 sehingga Mac 2026, dengan hampir separuh daripadanya berpunca daripada pinjaman peribadi.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata data rasmi menunjukkan sebanyak 14,582 kes atau 46 peratus daripada jumlah keseluruhan tersebut dikategorikan sebagai bankrap akibat tekanan hutang peribadi.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 4,704 kes atau 15 peratus daripada jumlah kes berkenaan melibatkan individu berumur 34 tahun ke bawah.

"Data ini menunjukkan pentingnya kesedaran mengenai pengurusan kewangan dan literasi kewangan dipupuk sejak peringkat awal, terutamanya bagi keluarga muda dalam merancang komitmen kewangan berdasarkan kemampuan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Program Dasar Peluang Kedua: Pelepasan ‘Fast Track’ (laluan pantas) anjuran Jabatan Insolvensi Malaysia Negeri Johor di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim, di sini hari ini.

Mengulas mengenai dasar berkenaan, Akmal Nasrullah berkata kerajaan kini memfokuskan usaha memberi peluang kedua kepada empat kumpulan sasar iaitu ibu atau bapa tunggal, pengusaha perniagaan mikro, mangsa penipuan kewangan (scam), dan mangsa projek rumah terbengkalai.

"Dasar ini membolehkan mereka yang terkesan untuk memulakan kembali kehidupan dan menguruskan semula kewangan mereka. Sebagai contoh, ada individu yang menjadi bankrap bukan kerana kegagalan mengurus wang semata-mata, tetapi akibat musibah seperti rumah yang dibeli tidak siap namun tetap menanggung beban hutang," katanya.

Menurutnya, kerajaan juga telah menambah baik kriteria pelepasan bankrap dengan menaikkan tahap ambang daripada RM50,000 kepada RM200,000 bagi memberi ruang lebih luas kepada individu terlibat untuk keluar daripada status tersebut.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai landskap ekonomi semasa, kadar inflasi bagi suku pertama tahun 2026 berada pada paras 1.6 peratus, bagi bulan Mac sahaja, inflasi mencatatkan peningkatan sedikit kepada 1.7 peratus berbanding 1.4 peratus pada Februari, yang didorong terutamanya oleh sektor pengangkutan dan kos bahan api, katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan