JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Sita Aset Tak Alih RM18.36 Juta Dalam Siasatan Dana NGO

23/04/2026 08:52 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita aset tak alih dianggarkan bernilai RM18.36 juta melibatkan 14 hartanah, susulan siasatan kes penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

SPRM menerusi hantaran di TikTok memaklumkan, sitaan itu merangkumi tujuh rumah kediaman bernilai RM15.53 juta termasuk sebuah banglo bernilai RM10 juta, tiga ruang pejabat bernilai RM1.53 juta serta empat lot tanah bernilai RM1.3 juta di Kundang, Marang dan Temasya Glenmarie.

“Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM18.36 juta berdasarkan nilai pasaran semasa,” menurut hantaran itu.

Difahamkan sitaan berkenaan dilaksanakan bagi membantu siasatan lanjut berkaitan dakwaan penyelewengan dana NGO terbabit.

Semalam, SPRM mengesahkan kes berkenaan melibatkan penyelewengan kira-kira RM230 juta daripada sumbangan orang awam dan bukan dana zakat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata siasatan mendapati NGO itu menerima dana daripada pelbagai sumber, termasuk komisen daripada kutipan tertentu untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.

Dua lelaki berusia lingkungan 50-an dan 60-an, termasuk seorang timbalan pengerusi NGO, direman empat hari hingga 25 April, selepas ditahan pada Selasa lepas bagi membantu siasatan kes berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan