KUCHING, 24 April (Bernama) -- Seorang wanita warga Australia yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Santubong di sini semalam ditemukan dalam keadaan selamat pada 11.59 pagi ini selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan malam tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan mangsa dikenali sebagai Belinda Lapier, 43, yang dipercayai dalam perjalanan turun dari puncak gunung berkenaan ditemukan pasukan penyelamat dengan hanya mengalami kecederaan ringan.
“Hari kedua operasi SAR diteruskan pagi ini dan komander operasi memaklumkan lokasi mangsa telah dikenal pasti di kawasan F7 pada 10.30 pagi tadi. Pasukan penyelamat dapat berkomunikasi dengan memanggil nama mangsa,” menurut JBPM Sarawak dalam kenyataan hari ini.
Usaha untuk sampai ke lokasi mangsa berdepan kesukaran berikutan laluan yang sangat curam dengan kecerunan dianggarkan 90 darjah selain dipenuhi batu-batu besar dan pokok tumbang.
“Mangsa akhirnya berjaya ditemukan pada 11.59 pagi dalam keadaan selamat dan siasatan awal mendapati mangsa dipercayai tersasar dari laluan asal di kawasan F10 ketika dalam perjalanan turun dari puncak gunung berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Pasukan SAR kini dalam proses membawa mangsa keluar dari kawasan gunung ke jalan utama untuk tindakan lanjut.
Semalam, JBPM Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 8.20 malam dan tiba di lokasi pada 9.43 malam, sebelum operasi SAR dimulakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial