Daripada Amiril Muttaqien Meketar
HORSENS (Denmark), 24 April (Bernama) -- Juara bertahan, China membuka tirai kempen Final Piala Thomas dan Piala Uber 2026 di sini, dengan mencipta kemenangan ke atas lawan masing-masing.
Dalam aksi Piala Thomas di Forum Horsens, negara “Tembok Besar” itu mudah menewaskan Australia 5-0 dalam Kumpulan A.
Perseorangan utama yang juga pemain nombor 1 dunia, Shi Yu Qi memulakan rentak cemerlang buat China apabila hanya mengambil masa 31 minit untuk menyingkirkan Ephraim Sam, 21-14, 21-10.
Beregu lelaki nombor lima dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang, menggandakan kelebihan China selepas menewaskan Jack Yu-Rizky Hidayat, 21-11, 21-12, dalam masa 22 minit, manakala perseorangan kedua, Li Shi Feng, dipaksa bekerja keras sebelum berjaya menundukkan Shrey Dhand, 21-15, 17-21, 21-16, sekali gus memastikan kemenangan 3-0.
Juara 11 kali itu meneruskan dominasi mereka menerusi Chen Bo Yang-Liu Yi, yang menyingkirkan Andika Ramadiansyah-Frederick Zhao, 21-8, 21-12, sebelum perseorangan ketiga, Lu Guang Zu melengkapkan kemenangan China dengan menewaskan Rishi Honda Boopathy, 21-7, 21-6.
Bercakap selepas perlawanan di zon campuran, Guang Zu gembira menyaksikan China memulakan kejohanan dengan langkah yang mantap.
“Namun, cabaran dijangka semakin sukar selepas ini. Kami tidak boleh leka hanya kerana menang 5-0 dalam perlawanan pertama,” katanya.
Sementara itu, China turut membuktikan bahawa pasukannya terlalu kuat buat Ukraine apabila mudah menewaskan wakil Eropah itu 5-0 dalam aksi Kumpulan A Piala Uber.
Pemain perseorangan nombor 4 dunia, Chen Yu Fei membuka tirai kemenangan ke atas Sofiia Lavrova, 21-9, 21-14, sebelum Han Yue melebarkan jarak dengan menewaskan Anastasiia Alymova, 21-7, 21-12.
Xu Wen Jing pula tidak berdepan masalah untuk mengenepikan Raiia Almalalhabarely, 21-6, 21-6, manakala beregu, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian menewaskan Alymova yang kembali ke gelanggang bergandingan dengan Mariia Stoliarenko, 21-13, 21-12.
Li Yi Jing-Luo Xu Min melengkapkan kemenangan bergaya China apabila menundukkan pasangan Almalalha-Lavrova, 21-5, 21-8, dalam masa 23 minit.
Yi Jing berkata dia gembira dengan permulaan sempurna pasukannya dan berharap China dapat mengekalkan intensiti sama dalam cabaran seterusnya menentang tuan rumah, Denmark, esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial