AM

727 Pengamal Media Terima Manfaat Tabung Kasih@HAWANA Setakat Ini - Fahmi

25/04/2026 01:11 PM

KEPALA BATAS, 25 April (Bernama) -- Tabung Kasih@HAWANA yang diperkenalkan sejak April 2023 telah memberi manfaat kepada 727 pengamal media di seluruh negara khususnya mereka yang terkesan dengan masalah kesihatan dan memerlukan sokongan kebajikan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sepanjang tempoh itu sebanyak RM2.2 juta telah diperuntukkan yang sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan komuniti media, khususnya mereka yang memerlukan.

"Hari ini merupakan sumbangan ke-727 yang kita sampaikan sejak bermula pada April 2023.

"Kita juga memikirkan tentang nasib para petugas media, tidak kira mereka berkhidmat dengan organisasi mana kerana tugas dan tanggungjawab mereka adalah untuk membuat pelaporan di lapangan dan seringkali berlaku keadaan di mana mungkin mereka boleh terkesan akibat daripada kejadian seperti kemalangan dan sebagainya," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada petugas Radio Televisyen Malaysia (RTM), Razif Saidin, 44, yang mengalami komplikasi saraf kronik akibat kemalangan motosikal pada 2023 dan perlu menjalani rawatan fisioterapi serta pengambilan ubat secara berterusan, di kediaman petugas berkenaan di Penaga, di sini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Selain itu, Fahmi turut menyampaikan sumbangan sebuah komputer riba kepada anak Razif, Nur Insyirah, 18, yang memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya akan terus menilai keperluan rawatan tambahan bagi Razif  termasuk cadangan mendapatkan rawatan alternatif seperti akupunktur, selain rawatan sedia ada.

"Selain daripada menyambung dari segi fisioterapi dan juga rawatan perubatan yang sedia ada, saya sarankan beliau teliti mungkin untuk cuba akupunktur.

"Beliau memaklumkan ada tempat rawatan di Kepala Batas dan akan cuba dalam masa terdekat...jadi nanti kita akan dapat sedikit maklumat apa yang boleh dibantu kalau sekiranya beliau merasakan itu sesuai dengan keperluan," katanya.

Fahmi berkata, selain itu, beliau juga akan melihat bentuk bantuan yang sesuai bagi menyokong keperluan anak petugas berkenaan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, Razif, yang berkhidmat sebagai Penolong Jurutera RTM selama 21 tahun berkata beliau mengalami gangguan saraf pada bahagian C4 di leher akibat kemalangan tersebut yang berlaku ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dan mengambil cuti sakit sebelum kembali bekerja semula.

Katanya walaupun telah kembali bekerja namun beliau masih menjalani rawatan berterusan termasuk rehabilitasi, fisioterapi, terapi carakerja serta pemantauan pakar bedah saraf di hospital kerajaan.

“Rawatan melibatkan pakar neurosurgeri di hospital kerajaan selain sesi rehabilitasi dan fisioterapi di Hospital Kepala Batas, saya juga akan mencuba rawatan akupunktur di Kepala Batas nanti," kata bapa kepada dua orang anak itu. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Fahmi, Sekretariat HAWANA dan semua pihak di atas sumbangan yang disalurkan kepadanya.

Tabung Kasih@HAWANA yang dilancarkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, digerakkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan