AM

Dasar Air Negara Fokus Kurangkan NRW, Perkukuh Sistem Bekalan Air - Fadillah

25/04/2026 03:18 PM

ALOR GAJAH 25 April (Bernama) -- Pelaksanaan Dasar Air Negara akan memberi tumpuan kepada cabaran utama sektor air termasuk pengurangan kadar air tidak berhasil (NRW) yang masih tinggi di peringkat nasional.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata purata kadar NRW ketika ini adalah sekitar 33.4 peratus dan kerajaan menyasarkan untuk menurunkannya kepada 28 peratus melalui pendekatan lebih menyeluruh serta bersepadu, sekali gus memastikan negara tidak berdepan situasi bankrap air sepertimana dialami sesetengah negara. 

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata dasar berkenaan merangkumi perancangan di peringkat Persekutuan dan negeri, selain menekankan pengurusan keseluruhan sumber air termasuk aspek pengagihan serta kecekapan sistem bekalan.

“Dasar Air Negara ini melibatkan perancangan di peringkat eksekutif dan juga negeri, kita melihat keseluruhan air dan cara untuk menguruskan sumber ini secara lebih efisien termasuk menangani cabaran NRW.

"Kita mahu pastikan air itu selamat, bersih dan paling utama kita mampu biayainya. Sebab itu juga, kita perlu jaga sumber air kerana tidak mahu nanti negara ada air tetapi terpaksa diproses dan akhirnya menjadi mahal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia 2026 Peringkat Kebangsaan di Tanjung Bidara, Masjid Tanah yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hari ini.

Fadillah berkata antara langkah diambil ialah pemberian geran kepada negeri yang mencatatkan kadar NRW melebihi 40 peratus, manakala negeri yang berjaya menurunkan kadar itu di bawah paras ditetapkan akan menerima geran padanan berdasarkan tahap pencapaian.

“Maknanya negeri perlu melaksanakan dahulu dan jika berjaya mengurangkan kadar NRW, kerajaan akan memulangkan peruntukan berdasarkan peratus pencapaian mereka. Jika capai 75 peratus, kita pulangkan 75 peratus, jika 50 peratus, maka 50 peratus,” katanya.

Menurut Fadillah antara negeri mencatatkan kadar NRW tinggi ialah Kelantan, Kedah, Sabah dan Sarawak. 

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi memantau pelaksanaan semua projek berkaitan air supaya dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Kita tahu ada cabaran dalam pelaksanaan projek, jadi pasukan petugas khas ini akan memastikan pemantauan dibuat secara rapi dan sebarang masalah dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan