KUCHING, 26 April (Bernama) -- Jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Muhamad Razali Nordin, 54, mempunyai perwatakan ceria dan gemar menghiburkan orang sekeliling sehingga menjadi penyeri suasana dalam keluarga.
Kembar Allahyarham, Muhamad Raduan berkata perbezaan rupa dan perwatakan menyebabkan mereka tidak begitu dikenali sebagai kembar sejak kecil.
“Pemergian arwah kehilangan besar buat keluarga kami. Selepas abang meninggal dunia pada Februari lepas, kami kehilangan Razali. Sekarang tinggal kami tiga beradik daripada lapan.
“Saya mengetahui kesihatan Allahyarham mula merosot sejak Ramadan dan sempat menziarahinya bersama-sama keluarga,” katanya kepada pemberita selepas pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Samariang, di sini hari ini.
Muhamad Raduan berkata sering ke Kuching untuk bertemu Allahyarham selepas mengetahui keadaan kesihatan kembarnya.
Sementara itu, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Harlina Samson berkata Allahyarham sangat murah dengan senyuman dan sering menceriakan suasana walaupun berhadapan tekanan kerja ketika di lapangan.
“Saya mengenali Allahyarham sejak awal kerjaya saya. Kami pernah bersama-sama melaksanakan pelbagai tugasan sama ada dalam mahupun luar negara dan beliau sentiasa menunjukkan komitmen serta semangat kerja berpasukan yang tinggi,” katanya.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata sumbangan Muhamad Razali dalam penyampaian berita dan merakam pelbagai peristiwa amat dihargai, khususnya di Sarawak.
“Dedikasi beliau sebagai jurugambar akan terus dikenang. Walaupun bukan berasal dari Sarawak, beliau menjadikan negeri ini tempat berkhidmat dan menetap sekian lama,” katanya.
Abdullah ditemui selepas menziarahi Allahyarham di Masjid At-Taqwa, Kampung Gita di sini.
Muhamad Razali yang berasal dari Batu Gajah, Perak meninggal dunia pada 1.44 pagi tadi di Hospital Umum Sarawak akibat beberapa penyakit kronik termasuk masalah jantung, hati dan buah pinggang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial