KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) menjangkakan sektor insurans Malaysia akan mengekalkan momentum pertumbuhannya pada suku pertama 2026, disokong oleh segmen insurans am dan insurans hayat yang lebih kukuh.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu memaklumkan kedua-dua segmen berkenaan telah pulih, manakala tuntutan perubatan kekal terkawal disebabkan oleh musim monsun yang lebih sederhana.
“Bagaimanapun, bagi suku-suku tahun berikutnya sektor insurans mungkin akan merasai tekanannya. Kesan konflik Asia Barat masih belum benar-benar dirasai pada suku pertama 2026, manakala nilai ringgit yang kukuh menjadikan kos mengimport alat ganti kereta dan komponen lain dalam nisbah tuntutan menjadi lebih mampu milik,” jelasnya.
Untuk rekod, Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) melaporkan inflasi tuntutan perubatan yang lebih rendah pada 2025 iaitu 5.3 peratus tahun ke tahun, yang terendah dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Ini telah membawa kepada pertumbuhan keseluruhan yang kukuh dalam tuntutan insurans hayat sebanyak 3.4 peratus tahun ke tahun pada 2025.
MBSB IB menyatakan kesan pada peringkat awal perang sebahagian besarnya terhad kepada perniagaan; kini, perang tersebut telah berlarutan cukup lama sehingga pengguna biasa mula merasai tekanan kenaikan kos.
Ia memaklumkan pinjaman runcit telah pun melemah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, memandangkan tekanan berterusan ke atas pasaran massa boleh memburukkan lagi keadaan tersebut.
“Walaupun syarikat insurans membayangkan angka pertumbuhan bagi suku pertama 2026 kekal utuh, kami berpendapat aktiviti ekonomi yang lemah boleh menimbulkan masalah pada suku-suku tahun berikutnya, dan bagi penanggung insurans am, khususnya, mungkin akan terkesan apabila jumlah pembelian kenderaan dan rumah merosot,” tambah MBSB IB.
Sementara itu, bank pelaburan berkenaan tidak menjangkakan sebarang impak material daripada segmen maritim, penerbangan dan transit (MAT), walaupun terdapat jangkaan ketidakstabilan yang berpunca daripada konflik Asia Barat, yang boleh membawa kepada peningkatan dalam permintaan perlindungan, terutamanya bagi kapal tangki dan kapal yang melalui Selat Hormuz.
“Kami berpendapat kemungkinan berlakunya kenaikan kecil dalam kos insurans semula disebabkan oleh risiko yang meningkat. Tetapi sebarang impak adalah tidak material. Segmen MAT merangkumi komponen yang sangat kecil bagi syarikat insurans tersenarai dan bahagian yang transit melalui kawasan Asia Barat adalah lebih kecil,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial