AM

Sarawak Perkasa Ekonomi Kitaran, Jana Tenaga Menerusi Teknoloji GTE

27/04/2026 08:42 PM

KUCHING, 27 April (Bernama) -- Kerajaan Sarawak menegaskan komitmen terhadap masa depan mampan dengan memperkukuh pendekatan ekonomi kitaran, iaitu sisa diubah menjadi sumber berguna khususnya tenaga boleh baharu menerusi teknologi Gas-ke-Tenaga (GTE).

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata negeri itu memberi tumpuan kepada usaha guna semula dan mengintegrasikan semula sisa, bukannya sekadar melupuskannya, selaras dengan agenda tenaga hijau yang lebih luas bagi memastikan kelestarian jangka panjang.

“Ini adalah masa depan yang kita bayangkan untuk Sarawak, dan kita telah memulakan inisiatif strategik di bawah agenda tenaga hijau baharu,” katanya semasa lawatan dan taklimat mengenai prototaip loji penjanaan bersama GTE pertama di Taman Pengurusan Sisa Bersepadu Kuching (KIWMP) di sini, hari ini.

Beliau berkata antara kelebihan utama pendekatan GTE ialah keupayaannya menukar gas metana daripada sisa tapak pelupusan kepada tenaga elektrik boleh baharu, sekali gus membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di samping menghasilkan tenaga bersih yang boleh digunakan.

“Ini bukan sahaja menangani kebimbangan alam sekitar seperti pencemaran metana, tetapi juga memperkukuh jaminan tenaga dengan menjana sumber tenaga boleh baharu tambahan,” katanya.

Beliau berkata penghasilan sisa di Sarawak terus meningkat secara berterusan berikutan pertambahan populasi dan pola penggunaan yang semakin tinggi, dengan jumlah semasa mencecah kira-kira 700 tan metrik sehari.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan