SUNGAI PETANI, 27 April (Bernama) -- Pihak berkuasa perlu menyegerakan siasatan dan menangkap suspek yang disyaki memukul isterinya sehingga keguguran di Ambangan Heights dekat sini.
Penasihat Persatuan Ibu Tunggal Jati Waja Sungai Petani Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata tindakan lelaki itu disifatkan sebagai amat melampau dan perlu dikenakan hukuman yang setimpal.
“Kami mengecam keganasan rumah tangga. Kejadian isteri dipukul, ditumbuk, ditendang, dipijak dan dilibas menggunakan paip sama sekali tidak boleh diterima akal manusia.
“Dia memukul isterinya hingga dimasukkan ke hospital dan mengalami trauma yang sangat teruk,” katanya selepas membuat laporan berhubung kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini hari ini.
Shahanim yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani berkata mangsa dipercayai mengalami bengkak pada kepala akibat dipukul dengan kerusi plastik, ditumbuk berkali-kali serta dipijak pada bahagian leher serta muka.
Beliau berkata laporan perubatan juga mengesahkan mangsa keguguran kandungan berusia 12 minggu, mengalami patah tulang rusuk kanan (tujuh batang) dan kiri (enam batang) serta patah tulang punggung (tiga bahagian).
“Suspek dikatakan turut mengugut nyawa mangsa dan ini tahap keganasan yang sangat serius.
“Saya mewakili wanita seluruh Malaysia berharap agar pelaku dikenakan hukuman setimpal memandangkan dia juga pernah terlibat dalam kes lebih teruk (pukul isteri hingga koma) sebelum ini di Johor Bahru,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial seorang penjawat awam berusia 39 tahun cedera dipercayai dipukul suaminya sehingga kandungannya gugur dan suspek berusia 43 tahun itu dikatakan lelaki sama dalam kes pukul isteri sehingga koma, iaitu Jahidah Nordin di Johor pada 2021.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan kemudiannya mengesahkan perkara itu dan polis sedang giat memburu suspek serta kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial