KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Kerajaan terus mengekalkan penyelarasan sementara kuota inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pada 200 liter sebulan buat masa ini susulan krisis bekalan global, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim.
Beliau berkata setiap keputusan akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dilaksanakan secara mingguan, mengikut keperluan dan keupayaan semasa ekonomi negara.
“Kita harus lihat kepada keseluruhan ekosistem, termasuk soal bekalan minyak. Setakat ini keadaan itu masih terkawal dan kerajaan memantau perkembangannya dari semasa ke semasa.
“Kita juga telah mempelbagaikan sumber minyak kita dan tidak hanya tertumpu kepada minyak daripada negara-negara Asia Barat,” katanya kepada Bernama ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk “Krisis Bekalan Tenaga” terbitan Bernama TV di sini hari ini.
Kerajaan melaksanakan penyelarasan sementara bagi kuota program BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026 susulan konflik di Asia Barat, dengan harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter.
Dalam program itu, Muhammad Kamil berkata kerajaan masih berusaha untuk menampung subsidi bahan api meskipun Bank Dunia mencadangkan supaya kerajaan melaraskan semula harga RON95 bersubsidi kepada RM2.05 seliter daripada RM1.99 seliter.
“Meskipun pada peringkat awal ada sedikit tentangan tetapi selepas dilaksanakan (penyelarasan subsidi), ia berjalan dengan sangat baik dan kita dapat menjimatkan sebahagian besar daripada ketirisan yang berlaku sebelum ini.
“Atas sebab itu juga kita mampu bertahan dengan pendekatan kita pada hari ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial