EKONOMI

Petronas Dagangan Sedia Catat Prestasi Konsisten, Komited Jamin Bekalan Malaysia

29/04/2026 05:31 PM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Petronas Dagangan Bhd (PDB) bersedia untuk mencatatkan prestasi yang baik walaupun menghadapi perubahan global yang berterusan serta dasar tenaga yang berubah-ubah.

PDB turut kekal komited untuk memastikan Malaysia terus maju dengan menjamin bekalan yang boleh dipercayai, menyokong keutamaan negara serta memberikan nilai mampan kepada kalangan pemegang saham.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Azrul Osman Rani berkata tahun kewangan 2025 telah menguji disiplin dan daya tahan syarikat susulan persekitaran operasi yang dinamik.

Beliau berkata prestasi PDB dipacu oleh kekukuhan perniagaan teras, disokong operasi yang stabil serta peningkatan penggunaan digital.

“Keutamaan kami ialah pelanggan, dan kami komited untuk memenuhi keperluan mereka di samping menyedari mengenai kos,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-44 PDB hari ini.

Azrul berkata dalam melangkah maju, keutamaan PDB adalah untuk terus memperkukuh asas perniagaan, memperluas penggunaan digital dan mengintegrasikan kelestarian, bagi memastikan perniagaan kekal berdaya tahan serta berada pada kedudukan yang baik untuk masa depan.

"Walaupun prospek industri dijangka mencabar dalam beberapa bulan akan datang, PDB komited untuk mengutamakan ketersediaan bekalan minyak di stesen kami,” kata Azrul.

Keuntungan bersih PDB bagi tahun kewangan 2025 meningkat kepada RM1.10 bilion daripada RM1.09 bilion pada tahun sebelumnya, manakala perolehan naik satu peratus kepada RM38.27 bilion daripada RM37.95 bilion.

Prestasi ini disokong oleh peningkatan jumlah jualan sebanyak dua peratus walaupun harga jualan purata turun satu peratus.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan