KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Malaysia berada dalam kumpulan negara teratas dari segi kesediaan kecerdasan buatan (AI), disokong kadar penggunaan yang tinggi, kepercayaan awam serta pelaburan berterusan dalam ekonomi digital, menurut syarikat teknologi hartanah global, Juwai IQI Holdings.
Dalam kenyataan hari ini, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kashif Ansari berkata pencapaian itu dimaklumkan dalam “AI Index 2026 Annual Report” yang baru dikeluarkan oleh Stanford University.
“Berdasarkan hampir setiap ukuran dari segi kesediaan awam, kepercayaan dan kemahuan, laporan Stanford AI menunjukkan Malaysia adalah antara negara teratas di dunia,” katanya.
Beliau berkata Malaysia telah menarik pelaburan maklumat dan komunikasi bernilai RM152.9 bilion tahun lepas.
Beliau berkata di peringkat global, rakyat Malaysia mempunyai antara tahap optimisme tertinggi terhadap AI, dengan kira-kira 80 peratus yakin teknologi itu akan mengubah kehidupan mereka secara ketara, manakala 76 peratus menyatakan keterujaan terhadap potensinya.
“Hampir dua pertiga rakyat Malaysia (70 peratus) yakin produk dan perkhidmatan yang menggunakan AI mempunyai lebih banyak manfaat daripada keburukan, berbanding hanya 59 peratus di peringkat global.
“Rakyat Malaysia merupakan peneraju dunia dalam penggunaan AI di tempat kerja, dengan sembilan daripada 10 orang telah menggunakannya, berbanding 43 peratus di China dan 46 peratus di Amerika Syarikat,” katanya.
Pada masa sama, 90 peratus penuntut universiti di Malaysia menggunakan AI, meningkat daripada kurang separuh pada 2023.
“Generasi tenaga kerja Malaysia yang akan datang membesar dengan alat AI dan akan dapat menggunakannya dengan cara yang belum ditemukan oleh generasi terdahulu.
“Ini mungkin menjelaskan faktor yang mendorong kira-kira 54 peratus rakyat Malaysia bersikap positif mengenai cara AI boleh mempertingkatkan pekerjaan mereka sendiri,” katanya.
Kashif berkata Malaysia juga luar biasa dari segi rakyat yang mempercayai kerajaan untuk mengawal selia AI dengan baik, apabila berada pada tahap kepercayaan ketiga tertinggi iaitu 73 peratus, hanya di belakang Singapura dan Indonesia.
“Tahap kepercayaan awam ini mewujudkan kestabilan dasar dan memudahkan syarikat untuk melabur.
“Kerajaan Malaysia memperoleh kepercayaan ini melalui usaha yang sangat proaktif dan telus, menerusi inisiatif seperti pelan tindakan ekonomi digital, menggalakkan pelaburan pusat data, pembangunan pembuatan cip serta kerjasama dengan syarikat teknologi global,” katanya.
Beliau berkata kerajaan turut menguar-iarkan manfaat AI melangkaui syarikat teknologi, termasuk membantu petani kecil meningkatkan pendapatan melalui penggunaan alat AI yang khusus.
Juwai IQI turut menjangkakan pemaju pusat data melabur sebanyak RM9.5 bilion setiap tahun untuk tanah sahaja, berasaskan peraturan mengikut kelaziman kos tanah membentuk kira-kira 10 peratus daripada jumlah kos pembinaan pusat data.
“Pembelian tanah ini hanyalah satu cara untuk AI memacu pertumbuhan ekonomi dan sektor hartanah. Setiap pelaburan berkaitan AI bernilai berbilion ringgit memberi kesan susulan kepada pasaran hartanah yang lebih luas, dan Malaysia menarik pelaburan bernilai ratusan bilion ringgit.
“Ini bermakna kita memerlukan lebih banyak kemudahan industri, ruang pejabat komersial, logistik, perumahan dan ruang runcit di kawasan sekitar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial