AM

Risiko Psikososial Perlu Dianggap Isu Keselamatan Di Tempat Kerja - Lee Lam Thye

28/04/2026 05:27 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Risiko psikososial seperti beban kerja berlebihan, buli dan ketidakseimbangan kehidupan bekerja perlu dianggap sebagai isu teras keselamatan dan kesihatan pekerjaan, kata Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.

Bersempena Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Sedunia hari ini, beliau berkata risiko seperti waktu kerja yang panjang, ketidaktentuan pekerjaan dan gangguan jika tidak ditangani boleh menyebabkan tekanan, lesu upaya, kemurungan serta kemalangan di tempat kerja.

“Tempat kerja yang selamat kini tidak lagi ditakrifkan semata-mata menerusi langkah keselamatan fizikal. Perlindungan pekerja juga mesti merangkumi penjagaan kesejahteraan mental,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata majikan perlu memperkukuh langkah-langkah seperti komunikasi terbuka, kepimpinan yang menyokong, beban kerja munasabah, tempoh rehat mencukupi, pengaturan kerja fleksibel, perlindungan antibuli, akses kepada sokongan kesihatan mental serta latihan kepada pengurus untuk mengenal pasti risiko psikososial.

Beliau berkata dasar keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang lebih kukuh dengan memasukkan perlindungan kesihatan mental akan membantu mewujudkan tempat kerja yang selamat dari segi psikologi, sekali gus mengurangkan ketidakhadiran dan kadar keluar masuk pekerja, di samping meningkatkan moral, inovasi dan produktiviti.

Lee berkata organisasi, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut digesa supaya bertindak secara proaktif manakala pihak berkuasa diseru mempertingkatkan garis panduan, kempen kesedaran dan langkah pematuhan bagi memastikan kesejahteraan mental diberi keutamaan yang sama seperti keselamatan fizikal.

“Minda yang sihat mewujudkan tempat kerja yang lebih selamat dan tempat kerja yang lebih selamat membina negara yang lebih kuat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan