EKONOMI

Pembangunan Hab Aeroangkasa Sepang Pacu Transformasi IDRISS

28/04/2026 07:27 PM

 

SHAH ALAM, 28 April (Bernama) -- Cadangan pembangunan industri berfokuskan aeroangkasa di Sepang dijangka menjadi pemangkin utama kepada transformasi ekonomi serantau di bawah kerangka Pembangunan Bersepadu Wilayah Selatan Selangor (IDRISS).

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, inisiatif strategik itu melibatkan kerjasama antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) dan SD Guthrie Berhad melalui pembangunan kawasan seluas 1,011.7 hektar di Ladang Sepang, bersebelahan KLIA Aeropolis.

“Dengan memanfaatkan keupayaan institusi serta kepakaran industri, pembangunan ini dijangka mewujudkan keupayaan aeroangkasa bersepadu yang disokong infrastruktur pintar dan mampan.

“Ia turut dirangka untuk menyokong industri bernilai tinggi termasuk logistik, sebagai sebahagian daripada ekosistem ekonomi yang lebih luas dan pelbagai,” katanya pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Courtyard by Marriott Setia Alam, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Fadzli menyaksikan pemeteraian MoU antara MBI Selangor, yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Saipolyazan M Yusop, dan SD Guthrie Berhad yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Land & Renewable Energy, R Renaka.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadzli berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk membangunkan perbandaran guna campur yang dirancang secara strategik, selari dengan objektif Rancangan Selangor Pertama 2021–2025 (RS-1).

“Pembangunan ini akan melengkapkan fasa pertumbuhan seterusnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta memperkukuh daya tarikan Selangor sebagai destinasi pelaburan global.

“Ia juga dijangka mewujudkan lebih 32,000 peluang pekerjaan menjelang 2030 hasil pembangunan perindustrian bersepadu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan SD Guthrie Berhad, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan syarikat itu dalam menyokong pembangunan berimpak tinggi di Selangor dan peringkat nasional.

Beliau berkata kerjasama tersebut dibina atas hubungan kepercayaan yang kukuh susulan kejayaan projek pembangunan bersepadu terdahulu di Pulau Carey.

“Kami menyasarkan penciptaan nilai jangka panjang melalui pembangunan tanah strategik dan pembentukan kluster industri bagi menyokong transformasi ekonomi negeri.

“Pengurusan tanah yang sistematik bukan sahaja meningkatkan nilai ekonomi, malah memperkukuh integriti alam sekitar dan keseimbangan sosial, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya.

Dalam pada itu, Saipolyazan berkata MoU berkenaan menegaskan peranan MBI Selangor dalam memacu pembangunan sejajar keutamaan pertumbuhan jangka panjang negeri.

Beliau berkata pembangunan industri tersebut dijangka menjadi nod pertumbuhan strategik IDRISS, dengan memperkukuh ekosistem penerbangan Selangor melalui kelebihan lokasi berhampiran KLIA serta infrastruktur sedia ada.

“Inisiatif ini mencerminkan fokus berterusan dalam membina landskap ekonomi yang berdaya saing, berdaya tahan dan mampan, sekali gus menjana nilai jangka panjang kepada rakyat,” katanya.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan