AM

Dewan: Sabah Dicadang Laksana Pembangunan Berasaskan Enam Wilayah

28/04/2026 09:05 PM

KOTA KINABALU, 28 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah dicadang melaksanakan pendekatan pembangunan berasaskan wilayah melibatkan enam zon merangkumi beberapa daerah utama di seluruh negeri bagi memastikan perancangan lebih tersusun dan menyeluruh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi Datuk Mohammad Mohamarin berkata usaha itu penting bagi membolehkan pembangunan setiap wilayah dirangka mengikut keperluan serta potensi setempat.

Beliau berkata setiap wilayah juga boleh ditadbir melalui jawatankuasa khas melibatkan wakil rakyat, ketua jabatan serta pakar ekonomi bagi merangka dasar, melaksanakan projek dan memantau pelaburan secara lebih efisien.

“Setiap wilayah ini ada ‘projek utama’ yang akan menjadi mercu tanda. Saya yakin dan percaya, apabila perkara ini dapat dirancang dan dilaksanakan sebaik mungkin oleh kerajaan, ekonomi rakyat, industri kecil dan sederhana akan lebih rancak dan setiap daerah saling memberikan manfaat masing-masing,” katanya.

Mohammad (GRS-Banggi) berkata demikian ketika membahas usul terima kasih atas ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Beliau turut mencadangkan wilayah satu merangkumi Pulau Banggi, Kudat, Kota Marudu dan Pitas; wilayah dua (Kota Belud, Tuaran, Ranau, Inanam, Penampang, Putatan dan Papar) manakala wilayah tiga (Beluran, Sandakan dan Kinabatangan).

Wilayah empat pula melibatkan Kuala Penyu, Beaufort, Tambunan, Keningau, Tenom, Sipitang dan Nabawan; wilayah lima (Telupid dan Tongod) manakala wilayah enam (Kalabakan, Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Semporna).

Mohammad berkata cadangan itu turut mengambil kira kebimbangan terhadap jurang pembangunan yang masih wujud antara kawasan pesat membangun dan kawasan ketinggalan.

Dalam pada itu, beliau berkata pelbagai isu keperluan asas di Pulau Banggi perlu diberi perhatian, antaranya keadaan infrastruktur jalan yang masih tidak memuaskan dengan hanya sebahagian kecil jalan berturap manakala selebihnya masih jalan batu kerikil.

Cadangan lain termasuk pembinaan premis perniagaan, perpustakaan mini, pusat rekreasi serta penyediaan bekalan air dan elektrik di kampung-kampung yang masih belum menerima kemudahan asas.

Mohammad juga mencadangkan program pertanian khusus seperti penanaman mangga harum manis dan nanas MD2 serta pembangunan lokasi pelancongan baharu di Bukit Sinambung dan Gua Kok Simpul di pulau berkenaan.

Sementara itu, ADUN Sungai Manila Datuk Hazem Mubarak Musa pula menyarankan kerajaan supaya mengkaji semula pelaksanaan perniagaan pertukaran barang sebagai langkah merancakkan semula ekonomi Sandakan yang disifatkannya semakin suram.

Beliau berkata pendekatan itu berpotensi menarik pelabur dan menghidupkan semula aktiviti ekonomi setempat, sekali gus memberi limpahan manfaat bukan sahaja kepada Sandakan tetapi juga seluruh negeri berkenaan.

ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu turut menegaskan pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dijadikan keutamaan dalam usaha membangunkan modal insan Sabah.

Beliau berkata pembangunan infrastruktur fizikal semata-mata tidak memadai sekiranya negeri gagal melahirkan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi yang mampu mengurus, menyelenggara dan memacu sektor industri ke tahap lebih maju.

“Saya menyeru kerajaan Sabah agar melakukan rombakan drastik ke atas kurikulum TVET di Sabah supaya ia benar-benar dipacu oleh kehendak industri. Kami mahu TVET pada hari ini tidak lagi terhad kepada kemahiran tradisional semata-mata,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan