GEORGE TOWN, 30 April (Bernama) -- Persiaran Pantai Sinaran di kawasan pembangunan The Light City, Glugor kini dikenali Persiaran Chin Fung Kee sebagai menghargai sumbangan besar tokoh kejuruteraan mendiang Tan Sri Prof Dr Chin Fung Kee kepada pembangunan Pulau Pinang.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata penamaan semula jalan sepanjang kira-kira 800 meter itu dibuat susulan permohonan rasmi oleh The Institution of Engineers, Malaysia (IEM) bagi menghargai jasa tokoh berkenaan yang memainkan peranan utama dalam projek infrastruktur mega di Pulau Pinang.
“Pemilihan lokasi jalan yang terletak berhampiran Jambatan Pulau Pinang adalah sangat simbolik memandangkan mendiang Chin merupakan antara jurutera kanan yang terlibat dalam pembinaan jambatan pertama tersebut,” katanya pada majlis penamaan semula jalan berkenaan yang disempurnakan Ketua Menteri Chow Kon Yeow di sini hari ini.
Sementara itu, Chow berkata sumbangan mendiang Chin amat signifikan, antaranya dalam mereka bentuk pembinaan Jambatan Pertama Pulau Pinang, melaksanakan kerja pembetulan asas bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) serta terlibat secara langsung dalam penubuhan dan pembangunan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM).
“Di persada dunia, kepakaran beliau diiktiraf menerusi ‘Chin Method’ yang merevolusikan industri cerucuk serta inovasi galas getah asli untuk ketahanan seismik yang kini digunakan di seluruh dunia, yang bukan sahaja menjimatkan kos dan masa, malah membuka pasaran baharu bagi industri getah asli Malaysia,” katanya.
Mendiang Chin dilahirkan pada 1923 dan meninggal dunia pada 29 Ogos 1990.
Beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam sebelum menjadi pensyarah dan Dekan Fakulti Kejuruteraan, selain pernah menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor serta memangku jawatan Naib Canselor UM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial