ISKANDAR PUTERI, 30 April (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Johor yang mencatat prestasi memberangsangkan dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, termasuk kejayaan menarik pelaburan berjumlah RM272 bilion.
Baginda bertitah pencapaian itu turut merangkumi kejayaan Johor mencipta sejarah dengan merekodkan pelaburan sebanyak RM110 bilion pada 2025, iaitu jumlah tertinggi yang pernah dicapai oleh mana-mana negeri di Malaysia.
Tunku Mahkota Ismail bertitah pencapaian tersebut secara tidak langsung membuka lebih 80,000 peluang pekerjaan kepada Bangsa Johor serta rakyat Malaysia.
“Saya juga dimaklumkan hasil negeri terus meningkat, mencecah RM2.68 bilion pada 2025, sekali gus menunjukkan kekuatan asas ekonomi serta kecekapan tadbir urus kerajaan negeri dalam mengurus sumber dan hasil dengan baik.
“Kejayaan ini didorong oleh pelaksanaan inisiatif strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang menjadi pemangkin utama kepada keyakinan pelabur serta pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.
Tunku Mahkota Ismail bertitah kesemua pencapaian itu menjadi petanda Johor berada di landasan tepat untuk muncul sebagai negeri contoh.
Pemangku Sultan Johor turut berharap momentum berkenaan akan terus diperkukuh agar Johor bukan sahaja maju, malah muncul sebagai negeri contoh yang unggul, berdaya saing dan disegani di peringkat nasional serta serantau.
“Sejak awal dilantik sebagai Pemangku Sultan Johor, saya telah menegaskan bahawa keutamaan saya adalah memperkukuh ekonomi, menjaga kebajikan rakyat, meningkatkan kualiti pendidikan, memperbaiki infrastruktur serta memperkasa sistem kesihatan,” titah baginda.
Baginda bertitah keutamaan itu diberikan bagi memastikan Bangsa Johor dapat menikmati kehidupan yang lebih baik, stabil dan terjamin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial