KOTA KINABALU, 30 April (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan empat Rang Undang-Undang (RUU), iaitu RUU Hari Kelepasan (Pindaan) 2026, RUU Pengangkatan (Pindaan) 2026, RUU Pengurusan Bangunan 2026, dan RUU Tanah (Hak milik Subsidiari) 2026.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai ketika membentangkan RUU Hari Kelepasan (Pindaan) 2026 berkata RUU itu bagi memperjelas kedudukan undang-undang berhubung pemberian hari kelepasan am apabila berlaku pertindihan hari kelepasan pada Ahad.
Beliau berkata pindaan berkenaan adalah perlu bagi menutup kelompangan peruntukan sedia ada serta memastikan tafsiran jelas, konsisten dan tidak menimbulkan kekeliruan dalam pelaksanaannya, sambil menjelaskan RUU itu tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan tambahan kepada kerajaan negeri.
“Melalui pindaan ini, diperjelaskan bahawa sekiranya hari gantian bertindih dengan satu lagi hari kelepasan am pada Ahad, ia akan secara automatik dibawa ke hari berikutnya. Ini seterusnya memastikan pelaksanaan hari kelepasan gantian dilaksanakan secara teratur, konsisten dan tanpa menimbulkan sebarang kekeliruan.
“Pindaan ini memberikan kejelasan kepada penjawat awam, bank, institusi dan masyarakat umum dalam menentukan hari kelepasan gantian apabila berlaku pertindihan cuti pada Ahad. Dari sudut pentadbiran, ia satu langkah praktikal dan responsif dalam memastikan pengurusan hari kelepasan am dilaksanakan secara teratur dan konsisten,” katanya.
Sementara itu, Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Julita Mojungki ketika membentangkan RUU Pengangkatan (Pindaan) 2026 berkata ia bertujuan meminda Ordinan Pengangkatan 1960 yang merupakan undang-undang untuk mentadbir pengangkatan anak di negeri ini.
Beliau berkata pindaan Seksyen 23 ordinan itu perlu dibuat bagi memperuntukkan bahawa Ordinan Pengangkatan 1960 tidak terpakai kepada orang Islam dan untuk membolehkan Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2024 dilaksanakan dan dikuatkuasakan.
“Ini berikutan seksyen tersebut menghalang pemakaian mana-mana undang-undang lain termasuk Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2024 bagi hal perkara berkaitan dengan pengangkatan anak,” katanya.
Beliau berkata DUN Sabah telah meluluskan Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2024 pada November dua tahun lepas, bagi menyediakan peruntukan khusus mengenai pengangkatan anak dalam kalangan umat Islam Sabah berkuat kuasa pada 26 Dis 2024.
Julita berkata ia bagi memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mengeluarkan perintah pengangkatan serta menetapkan syarat pengangkatan, proses persetujuan, pengecualian persetujuan dan sekatan dalam menarik balik persetujuan.
Bagi RUU Pengurusan Bangunan 2026, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata matlamat utama RUU ini adalah untuk mewujudkan satu sistem pengurusan bangunan yang lebih tersusun, telus dan berkesan.
Mohd Arifin berkata ia juga bagi memperkukuh tadbir urus serta melindungi kepentingan pemilik dan pembeli supaya pembangunan berhak milik subsidiari di Sabah dapat diurus secara mampan, berkualiti dan memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat.
“RUU ini bukan sekadar satu instrumen perundangan, tetapi komitmen kerajaan negeri untuk melindungi kepentingan rakyat sebagai pemilik hartanah, meningkatkan kualiti hidup dalam komuniti berstrata serta memperkukuh keyakinan terhadap sektor pembangunan hartanah di negeri kita,” katanya.
Dalam pada itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Aliasnih ketika membentangkan RUU Enakmen Tanah (Hakmilik Subsidiari) 2026 berkata ia bagi mewujudkan kerangka perundangan lebih menyeluruh, moden dan praktikal dalam pengurusan hakmilik subsidiari.
Beliau berkata enakmen baharu itu tidak lagi terhad kepada bangunan semata-mata seperti perundangan terdahulu, sebaliknya turut meliputi tanah termasuk pembangunan yang melibatkan lebih daripada satu bangunan atau ‘landed parcels’.
RUU itu juga menetapkan pemilik tanah wajib memohon pecah bahagi sekiranya sesuatu unit petak telah dijual atau dipersetujui untuk dijual, dengan tempoh permohonan ditetapkan mengikut jenis pembangunan, selain memperkenal penalti lebih tegas termasuk denda sehingga RM1 juta terhadap ketidakpatuhan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial