EKONOMI

Grab Peroleh Lesen Pengendali Perkhidmatan E-hailing Rentas Sempadan

01/05/2026 12:39 AM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Syarikat terkemuka perkhidmatan e-hailing dan penghantaran di Asia Tenggara, Grab, memperoleh Lesen Pengendali Perkhidmatan E-Hailing Rentas Sempadan (CRSOL) yang pertama kali dikeluarkan.

Lesen itu membolehkan pengendali menawarkan perkhidmatan perjalanan antarabangsa terus menerusi platform digital mereka.

CRSOL diperkenalkan di bawah Skim Teksi Merentas Sempadan yang ditambah baik ini diumumkan secara bersama oleh Kementerian Pengangkutan Singapura dan Kementerian Pengangkutan Malaysia.

“Melalui lesen ini, Grab kini boleh menawarkan perkhidmatan tempahan teksi rentas sempadan melalui aplikasinya,” menurut Grab dalam satu kenyataan.

Sebagai permulaan, Grab akan menjalankan projek rintis bagi tempahan teksi antara mana-mana lokasi di Singapura ke kawasan terpilih di Malaysia iaitu Johor Bahru, Iskandar Puteri, Forest City, Kulai dan Senai.

Dinamakan ‘Cross-Border JB-SG (Beta)’, perkhidmatan rintis ini bertujuan meningkatkan pengalaman perjalanan di salah satu laluan sempadan darat paling sibuk di dunia.

Penumpang dari kedua-dua bandar (Johor Bahru dan Singapura) boleh membuat tempahan perjalanan terus ke destinasi melalui aplikasi Grab, sama ada dalam tempoh 12 jam atau tujuh hari lebih awal.

Projek rintis ini akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 4 Mei, 2026. Grab akan memperluas dan menambah baik perkhidmatan berkenaan seiring dengan pertambahan pemandu teksi berlesen serta maklum balas daripada pengguna dan pemandu, menurut syarikat itu.

Bagi memperkukuh ketersambungan antara kedua-dua negara, kerajaan Singapura dan Malaysia akan mengeluarkan sebanyak 300 lesen kepada pemandu teksi di setiap negara pada 2026.

Buat julung kalinya bagi GrabCab, rangkaian teksi Grab yang dilancarkan pada 2025, sebilangan pemandunya turut menerima lesen daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Malaysia.

Selain itu, Grab sedang giat mendaftarkan teksi rentas sempadan berlesen daripada GrabCab serta operator lain, sistem dalaman juga telah dipermudahkan pemandu menguruskan pendapatan dalam pelbagai mata wang dan mematuhi peraturan yang berbeza di kedua-dua negara.

Teksi berlesen Singapura dibenarkan mengambil penumpang dari mana-mana lokasi di Singapura untuk dihantar ke kawasan operasi di Malaysia, bagaimanapun bagi perjalanan pulang ke Singapura, pengambilan penumpang hanya terhad kepada tempahan awal di lokasi tetap iaitu Pusat Beli-belah Toppen, Mid Valley Southkey, Angsana Mall dan Terminal Larkin Sentral.

Situasi sama terpakai bagi teksi berlesen Malaysia yang boleh mengambil penumpang dari mana-mana kawasan operasi di Malaysia untuk dihantar ke Singapura. Untuk perjalanan pulang ke Malaysia, pengambilan hanya dibenarkan melalui tempahan awal dari lokasi tetap berhampiran Vivocity, Century Square, stesen MRT Joo Koon dan Terminal Ban San Street.

Namun, bagi perjalanan pulang, pengambilan penumpang hanya terhad kepada tempahan awal dari lokasi tetap di sekitar Vivocity, pusat beli-belah Century Square, stesen MRT Joo Koon dan Terminal Ban San Street.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Grab, Alex Hungate berkata pihaknya berasa bangga dapat bekerjasama dengan kerajaan kedua-dua negara dalam usaha meningkatkan ketersambungan serantau.

“Kami akan bekerjasama rapat dengan rakan niaga kami iaitu pemandu teksi serta penumpang dan menggunakan maklum balas daripada projek rintis ini untuk memantapkan operasi demi memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan boleh dipercayai, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan