KANGAR, 1 Mei (Bernama) -- Program Nat Antarabangsa ANGKASA Perlis 2026 anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dijangka dapat memperkukuh jaringan ekonomi koperasi, komuniti dan usahawan tempatan melalui platform jualan, promosi produk serta padanan perniagaan.
ANGKASA dalam satu kenyataan memaklumkan program itu yang berlangsung di Pasar Terapung Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di sini bermula hari ini hingga Ahad menyediakan ruang komprehensif kepada koperasi untuk memasarkan produk secara terus kepada pengguna selain membuka peluang jaringan perniagaan antara koperasi serta rakan strategik.
“Program ini menghimpunkan 50 pempamer koperasi yang menampilkan pelbagai produk dan perkhidmatan termasuk makanan dan minuman, barangan keperluan asas, hasil pertanian serta perkhidmatan inovatif.
“Kepelbagaian penyertaan ini mencerminkan keupayaan gerakan koperasi dalam memenuhi keperluan pasaran semasa di samping memperlihatkan potensi besar sektor ini untuk terus berkembang dalam landskap ekonomi negara,” maklum kenyataan itu.
Menurut ANGKASA, penganjuran program itu selaras dengan usaha berterusannya untuk memperkasa koperasi sebagai platform ekonomi rakyat bagi meningkatkan pendapatan dan mengurangkan beban kos sara hidup menerusi Jualan Rahmah MADANI serta memperkukuh kapasiti perniagaan di negeri Perlis.
Kemuncak program itu ialah majlis perasmian nat antarabangsa yang akan disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada Ahad malam serta pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) yang dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik.
“Turut dilancarkan ialah platform Nat Antarabangsa Malaysia Halal Marketplace yang bertujuan memperluas capaian pasaran digital bagi produk koperasi khususnya dalam segmen halal yang mempunyai potensi besar di peringkat global.
“Program itu turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk cabutan bertuah, persembahan khas serta pertunjukan bunga api. Selain itu, Kenduri ANGKASA Negeri Perlis turut diadakan sebagai simbolik kebersamaan dan semangat kekitaan dalam kalangan anggota koperasi dan komuniti setempat,” kata ANGKASA.
Sementara itu, pada hari pertama program itu hari ini terdapat jualan produk nat dan Program Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan barangan keperluan pada harga berpatutan kepada masyarakat setempat selain pertandingan mewarna bagi menarik penyertaan golongan kanak-kanak serta menggalakkan penglibatan keluarga dalam aktiviti komuniti.
“Pada hari kedua esok, pengunjung berpeluang menikmati pengalaman unik menerusi Pasar Tani Terapung Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menampilkan hasil pertanian segar serta produk agromakanan.
“Program Puisi Nusantara dan persembahan gendang yang mengetengahkan elemen seni dan budaya serantau turut diadakan bagi menambah nilai kepada penganjuran nat sebagai platform ekonomi dan kebudayaan,” menurut kenyataan itu.
Wacana Nat Antarabangsa: Cabaran dan Masa Depan pula akan dianjurkan pada Ahad yang menghimpunkan pemain industri, pemimpin koperasi dan pihak berkepentingan bagi membincangkan hala tuju serta strategi memperkukuh gerakan koperasi dalam menghadapi cabaran ekonomi global.
Sehubungan itu, ANGKASA menjemput orang ramai hadir memeriahkan nat antarabangsa tersebut dan menyokong produk buatan Malaysia serta koperasi tempatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial