Daripada Amirul Mohd Sajadi
MAKKAH, 1 Mei (Bernama) -- Persediaan emosi jemaah dikenal pasti sebagai elemen penting dalam memastikan kelancaran ibadah haji, seiring dengan keperluan fizikal yang sering diberikan penekanan.
Pengurus Kaunseling Tabung Haji (TH) Azlina Abdul Hamid berkata jemaah berdepan pelbagai perubahan mendadak sebaik tiba di Tanah Suci, termasuk cuaca, rutin harian dan persekitaran baharu.
Beliau berkata keadaan itu boleh mencetuskan rasa cemas, tertekan dan rindu kepada keluarga, khususnya bagi jemaah yang kali pertama menjejakkan kaki ke luar negara.
“Ada jemaah yang nampak ceria, sentiasa senyum dan ketawa, tetapi sebenarnya memendam rasa. Mereka mungkin menanggung keletihan emosi atau kerinduan yang tidak diluahkan.
"Kami sentiasa memberikan sokongan emosi kepada jemaah melalui sesi kaunseling, lawatan bilik ke bilik serta interaksi santai bagi mengenal pasti perubahan tingkah laku mereka," katanya kepada pemberita, di sini semalam.
Azlina berkata pendekatan proaktif itu penting kerana tidak semua jemaah tampil mendapatkan bantuan secara sukarela.
Selain itu, beliau berkata kerjasama dengan pasukan perubatan dan pembimbing ibadah turut dilaksanakan bagi memastikan setiap isu ditangani secara menyeluruh.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan bakal jemaah supaya membuat persediaan mental lebih awal, termasuk membina sikap sabar dan berlapang dada.
“Bila emosi stabil, jemaah bukan sahaja lebih tenang, malah dapat melalui setiap fasa ibadah dengan lebih teratur dan bermakna,” katanya.
Operasi Haji 1447/2026 bermula secara rasmi pada 18 April, dengan 31,600 jemaah haji Malaysia berlepas secara berperingkat ke Madinah dan Makkah menerusi 100 penerbangan sewa khas oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial