AM

Perluasan Perlindungan PERKESO Langkah Progresif Lindungi Pekerja Rentas Sempadan - Pakar

02/05/2026 05:19 PM

Oleh Suraidah Roslan

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Inisiatif memperluas perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara disifatkan sebagai langkah progresif dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial, khususnya bagi pekerja rentas sempadan apabila berlaku musibah.

Profesor Sosiologi Politik Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Novel Lyndon berkata tumpuan kepada pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura adalah satu langkah tepat, mengambil kira risiko yang dihadapi, terutama bagi mereka yang berulang-alik setiap hari menggunakan kenderaan sendiri.

Beliau berkata perluasan ini dijangka memberi perlindungan komprehensif yang tidak ditawarkan oleh majikan asing atau insurans komersial biasa, di samping memastikan kebajikan keluarga di tanah air terus terpelihara sekiranya punca pendapatan utama terjejas akibat kemalangan di luar negara.

“Secara prinsipnya, ini langkah progresif. Selama ini, wujud ‘lohong hitam’ bagi rakyat kita yang bekerja di luar negara, sedangkan mereka turut menyumbang kepada ekonomi negara melalui aliran masuk mata wang asing,” katanya kepada Bernama.

Namun, katanya, mekanisme koordinasi antara Perkeso dengan agensi luar negara seperti polis atau hospital di Singapura perlu diwujudkan bagi memudahkan proses pengesahan kemalangan serta mengelakkan kelewatan tuntutan.

Dalam pada itu, Novel berkata kerajaan juga perlu membina pangkalan data yang integratif untuk mengesahkan status pekerjaan rakyat Malaysia di luar negara, sekali gus mengelakkan sebarang penyalahgunaan skim.

“Usaha ini ialah satu jaringan keselamatan yang amat diperlukan. Walaupun ia mungkin menambah sedikit komitmen kewangan bulanan kepada pekerja, manfaat jangka panjang terutamanya perlindungan untuk waris adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh.

“Kunci kejayaan perlindungan ini terletak pada kemudahan pendaftaran dan kepantasan proses tuntutan. Jika prosesnya menyusahkan, matlamat murni ini mungkin tidak mencapai sasaran penyertaan yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, Profesor Sumber Manusia dan Hubungan Industri, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Dr P. Balakrishnan berkata cadangan perluasan perlindungan itu merupakan satu inisiatif yang baik dan mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam melindungi pekerja Malaysia di luar negara.

Namun, beliau menegaskan cabaran utama terletak pada kesediaan pekerja untuk mencarum khususnya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, walaupun perlindungan sedemikian amat diperlukan.

Sehubungan itu, Balakrishnan mencadangkan agar satu kajian menyeluruh dilaksanakan dengan penglibatan penggiat industri dan ahli akademik dalam bidang sumber manusia bagi memastikan kejayaan pelaksanaan inisiatif tersebut.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas usaha mengambil kira pandangan ahli akademik untuk memberi perhatian kepada kemampanan industri mikro dan kecil.

Pada sambutan Hari Pekerja semalam, Perdana Menteri mengumumkan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 akan dipinda bagi memperluas perlindungan Perkeso kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, bermula dengan pekerja rentas sempadan Malaysia-Singapura.

Inisiatif itu dijangka memanfaatkan lebih 480,000 pekerja yang mencari rezeki merentasi Tambak Johor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan