EKONOMI

MARALINER Meterai Enam Perkongsian Strategik Bagi Pacu Transformasi Mobiliti

03/05/2026 08:09 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- MARA Liner Sdn Bhd (MARALINER) memeterai enam perkongsian strategik, sekali gus menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan transformasinya ke arah ekosistem pengangkutan awam yang moden, berdaya tahan dan dipacu teknologi. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Agyl Wan Hassan berkata kerjasama itu merupakan langkah penting dalam meningkatkan keupayaan MARALINER merentasi pendigitalan, pengurusan armada, kemampanan dan mobiliti multimodal. 

“Bagi memperingati sumbangan enam dekad MARA dalam pembangunan negara, kesemua perkongsian strategik ini mengesahkan semula komitmen MARALINER untuk menyediakan penyelesaian mobiliti yang berpandangan jauh dan menyumbang kepada ekosistem pengangkutan yang lebih terhubung, cekap serta berdaya saing bagi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Antara inisiatif itu ialah kerjasama dengan anak syarikat Berjaya Group,  Berjaya Rail Sdn Bhd.

Kerjasama tersebut meletakkan MARALINER dalam rantaian nilai mobiliti dan rel yang lebih meluas, merangkumi struktur pajakan armada; pemodenan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), serta penerokaan bersama pembangunan stok gerabak, termasuk potensi pembuatan tempatan. 

Rakan strategik lain termasuk Bateriku (M) Sdn Bhd, KATSANA Holdings Sdn Bhd, Tuxuri Sdn Bhd, Tron Bradbury Energy (Malaysia) Sdn Bhd, dan Grab Malaysia.

“Kerjasama ini akan memperkenalkan penambahbaikan seperti sistem pengurusan armada pintar, rangka kerja penyelenggaraan ramalan, analitik geospatial, pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) dan penyelesaian ketersambungan peringkat pertama dan terakhir yang dipertingkatkan,” kata syarikat bas itu. 

Majlis pertukaran memorandum persefahaman itu diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-60 Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan